KUALA LUMPUR: Setelah hampir tiga bulan ditutup, akhirnya masjid dan surau di kebanyakan negeri berstatus hijau kembali dibuka semalam, membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu.
Sudah tentu ia adalah saat yang ditunggu-tunggu apabila dapat mengimarahkan semula rumah Allah walaupun berhadapan dengan kebiasaan baharu dengan terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelak penularan wabak COVID-19 di kalangan jemaah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara menzahirkan rasa bangga terhadap jemaah yang mematuhi peraturan dengan tertib ketika menunaikan solat Jumaat.
Antaranya termasuk memberikan kerjasama baik dengan berbaris dan merekodkan bacaan suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memasuki masjid, selain turut membawa sejadah sendiri dari rumah dan duduk pada jarak satu meter antara jemaah di dalam dewan sembahyang.
Mengikut SOP yang disediakan, jemaah juga perlu memakai pelitup muka, selain mengambil wuduk serta tidak bersalaman atau bersentuhan sepanjang berada di masjid, surau Jumaat dan surau.
Dalam memastikan pematuhan ini, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sendiri perlu memainkan peranan memastikan setiap jemaah yang hadir mematuhinya.
Selain itu kawalan kendiri dan amalan menjaga kebersihan diri seperti sentiasa membasuh tangan juga penting untuk memastikan tiada kes jangkitan virus itu berlaku di kalangan jemaah yang hadir.
Walaupun kes positif COVID-19 semakin berkurang dan banyak kelonggaran yang diberikan kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak Rabu lepas, namun ia bukan alasan untuk kita alpa.
Selain boleh ke masjid dan surau, rakyat juga kini boleh bergerak merentas negeri, dan hari ini serta esok dijangka ramai yang akan ambil kesempatan cuti hujung minggu balik kampung, sebagai 'ganti' kepada sambutan Aidilfitri yang 'terlepas' sebelum ini.
Memetik kata-kata, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, negara hanya boleh diisytihar bebas daripada penularan COVID-19 sekiranya merekodkan sifar kes baharu untuk tempoh 28 hari iaitu dua kitaran inkubasi.
Selagi belum mencapai perkara itu, selagi itu kita masih perlu 'berjuang' memerangi wabak ini bagi mengecapi erti sebenar kehidupan bebas dan normal seperti sebelum ini. – BERNAMA
from Sehinggit Media https://ift.tt/3hpEoKg
via Merah Hati Cintaku