Wednesday, 4 December 2019

Penyanyi Datuk Nassier Wahab Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Nassier Wahab, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 tengah malam tadi.

Pembantu peribadinya, Ariff Salim memberitahu, Allahyarham pergi dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

"Seperti semua sedia maklum, arwah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Selepas itu, arwah melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kimoterapi.

"Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam). Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak.

"Saya dan isteri arwah yang berada di sisinya terus meminta bantuan doktor. Tiba-tiba sahaja semuanya berlaku. Pada jam 12.45 tengah malam, doktor mengesahkan abang Nassier sudah tiada,” katanya kepada BH Online.


Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Bandar Bukit Raja, Selangor, pagi ini untuk urusan pengebumian.

Nassier yang memulakan karier sejak era 1980-an, berasal dari Pulau Pinang dan aktif menyanyi serta berlakon. Antara lagu popular Allahyarham adalah Sekali Aku Jatuh Cinta, Undangan Rindu dan Memori Cinta Luka.

Pada 1988, Nassier merakamkan lagu duet Susah Senang Kita Bersama dengan Ramlah Ram. Nassier turut menyertai musim kedua Gegar Vaganza (GV) hingga ke pentas akhir pada 2015 dan mendapat tempat keempat.

Pada 15 Julai lalu, BH Online melaporkan Nassier menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di sebuah pusat perubatan, di sini.

Ariff dilaporkan berkata, ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.

Sejak itu, Nassier dilaporkan kerap sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, penyanyi itu membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian berkenaan.

Ketika laporan itu disiarkan, keadaan kesihatan penyanyi yang terkenal dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta itu semakin baik, malah sudah boleh makan seperti biasa tanpa bergantung kepada tiub.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyifatkan pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar kepada industri muzik.

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah dalam kenyataannya kepada BH memberitahu, kepimpinan tertinggi dan ahli SENIMAN meratapi pemergian Nassier dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2YfgGHF
via IFTTT