Hari ini ramai isteri yang mengeluh penat dan stres kerana tugas yang tak menang tangan. Mereka ini terutama yang bergelar ibu bukan saja mengurus rumah tangga, malah turut bekerja mencari rezeki.
Antara cara kebiasaan wanita meredakan kepenatan ini dengan berehat, bercuti dan juga ke spa untuk rawatan tubuh. Hakikatnya dalam Islam sendiri telah tersedia penawar kepenatan ini melalui amalan Zikir atau Tasbih Fatimah yang diajarkan sendiri oleh Rasululullah s.a.w kepada puterinya Saidatina Fatimah r.a.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w, Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang tangannya berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya.
Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah s.a.w untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah s.a.w dan hanya bertemu dengan Saidatina Aisyah.
Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Apabila Rasulullah tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.
Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun ingin menghampiri baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat perbaringan.
Lalu baginda bersabda; “Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)
Maka disaran kepada ibu-ibu yang berasa penat setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan Zikir/Tasbih Fatimah ini setiap malam sebelum melelapkan mata.
ZIKIR/ TASBIH FATIMAH
Allahu Akbar – 34 kali
Subhanallah – 33 kali
Alhamdulillah – 33 kali
Dalam pada itu sentiasalah didiklah hati untuk ikhlas melakukan semua tanggungjawab agar tidak merasakan ia sebagai bebanan yang memenatkan.
from Sehinggit Media News https://ift.tt/35bBEsx
via IFTTT