DALAM kegembiraan meraikan hari bahagia, tumpah juga air mata pengantin ini apabila mendengar pesanan keramat oleh bapanya.
Foto penuh emosi melibatkan pengantin perempuan, Nur Syazana, 23, bersama bapanya, Muhamad Aznir Hussin, 59, cukup meruntun hati netizen setelah ia dikongsi di laman sosial.
Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Yana mengakui sebak apabila berdepan dengan bapanya dalam majlis yang berlangsung pada 30 November lalu.
"Masa tu sebelum nak bersanding, pengantin lelaki baru sampai. Jadi kami nak minta restu dahulu sebelum naik pelamin.
"Saya bersalam, peluk dan cium abah. Dia bagi nasihat kepada saya agar jadi isteri yang baik.
"Bila abah menangis, saya pun menangis juga sebab sebak. Masa tu tak fikir dan pasal mekap atau orang kiri kanan," ujarnya sewaktu dihubungi.
Yana dan suami mencium pipi bapanya, Muhamad Aznir Hussin dalam majlis pada hujung bulan lalu.
Menurut Yana, bapanya itu semakin sensitif sejak diserang strok separuh badan, awal tahun lalu.
Malah, mereka juga tidak selalu berjumpa sebelum ini memandangkan Yana menetap di Kuala Nerang, Kedah manakala bapanya di Kuala Kangsar, Perak.
"Selepas sakit, abah memang sensitif dan cepat sedih. Kalau cakap pasal kahwin atau kami tinggalkan dia, mesti dia menangis.
"Gambar yang viral tu masa majlis bersanding. Masa majlis akad nikah di masjid pun abah menangis juga," katanya lagi.
Menurut Yana, dia sama sekali tidak menyangka gambar itu berjaya menyentuh hati ramai netizen.
Jelasnya, dia hanya tahu mengenai penularan itu selepas dimaklumkan oleh beberapa rakan serta ahli keluarga.
"Mula-mula tu ramai bagitahu tapi saya tak percaya. Saya kata mustahil. Selepas tu ahli keluarga pun ada maklumkan juga.
"Ada kawan saya yang dah tak ada ayah, dia kata sedih bila tengok gambar saya. Saya pun tak sangka sama-sekali," katanya lagi.
Dalam majlis di kediamannya di Kuala Nerang, Yana diraikan bersama pengantin lelaki, Muhammad Mazrin Yaakob, 26, dengan kehadiran sekitar 2,000 tetamu.
Dalam pada itu, jurugambar yang bertanggungjawab memuat naik foto itu sehingga menjadi tular, Mohamad Hafiz Shaharudin, 32, berkata, dia sendiri tidak menyangka ramai yang akan tersentuh hati melihat detik berkenaan.
"Sebenarnya gambar itu diambil oleh kru saya di Kedah. Sebab saya dah berpindah ke Kuala Lumpur September lalu. Terpaksa minta tolong orang lain untuk ambil gambar.
"Saya hanya edit sahaja. Jadi sewaktu dalam proses edit gambar majlis kahwin tu, saya tengok tengok mimik muka sedih antara pengantin dan ayahnya.
Hafiz mengakui jurugambar sentiasa berdepan detik penuh emosi khususnya sewaktu majlis kahwin.
"Itu yang membuatkan saya nak berkongsi di media sosial, untuk dijadikan pedoman kepada anak gadis di luar sana yang nak berkahwin, agar hargai keluarga mereka.
"Saya sendiri selama lima tahun berkecimpung dalam bidang ni, memang selalu berdepan detik emosi macam ni. Rasa terusik juga, tapi tahan tak nak menangis sebab nak jalankan tugas," katanya yang juga seorang penjawat awam.
Sehingga kini, foto melibatkan Yana dan bapanya dikongsi secara meluas menerusi Facebook dan menerima pelbagai komen netizen.
Rata-ratanya mengakui sedih, tak kurang juga yang berkongsi kisah hampir sama sewaktu majlis perkahwinan mereka.
Sumber: Mstar Online
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2Q5OX9L
via IFTTT