Tuesday, 29 October 2019

Rumah Dirompak, Guru Wanita Mati Dibunuh


SIK: Seorang guru wanita mati dipercayai dibunuh dalam rompakan di rumahnya di Kampung Banggol, Jeneri di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Fauziah Yop, 46, ditemui di dalam bilik dalam keadaan menelungkup dengan badan di atas katil dan kakinya di bawah, oleh anak perempuan bongsunya berusia 14 tahun yang baru pulang dari sekolah bersama bapanya.

Peniaga, Muhd Shukri Zakaria, 24, yang berada di kedai runcit kira-kira 10 meter di belakang rumah mangsa, bersama tiga penduduk lain bergegas ke rumah guru berkenaan selepas dipanggil anak bongsu guru terbabit.

“Sebaik tiba, saya lihat keadaan rumah berselerak dan ada laci yang terbuka. Ketika kami masuk ke dalam bilik, suami mangsa yang kami kenali sebagai Cikgu Hamzah sedang memangku mangsa sambil menangis.

“Keadaan dalam bilik itu juga berselerak seperti digeledah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Muhd Shukri berkata, mereka membantu mengangkat mangsa ke atas katil sebelum meminta bantuan jiran menghubungi polis.


Beliau tidak mendengar bunyi jeritan sebelum itu walaupun gerai ayam miliknya terletak berhampiran rumah mangsa.

“Saya dan rakan ada nampak suami mangsa keluar menjemput anak di sekolah kira-kira jam jam 12.30 tengah hari.

“Arwah adalah pelanggan saya dan peramah orangnya, dia selalu datang ke gerai membeli ayam,” katanya.

Suami mangsa bagaimanapun enggan ditemuramah kerana tidak mahu membaca berita kematian isterinya di media.

“Saya tak mahu cerita apa-apa, saya tak sanggup baca berita mengenai kematian isteri saya,” katanya dalam nada sebak.

Hamzah dilihat keluar dari rumahnya untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdul Razak Osman ketika dihubungi mengesahkan kejadian. - BH Online


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2pmIzjW
via IFTTT