Friday, 25 October 2019

KDN Perlu Teliti Dulu Niat Penerbit Komik Sebelum Diharamkan


GEORGETOWN- Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu meneliti niat sebenar penerbit komik bertajuk Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama sebelum mengeluarkan arahan diharamkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tindakan pihak berkuasa dalam mengharamkan bahan bacaan itu disifatkan terlalu cepat berikutan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas isunya tular.

Menurutnya, polis sepatutnya mendapatkan pakar sejarah untuk menyemak fakta komik tersebut sebelum mengharamkannya.

"Dalam tempoh satu hari, ia telah diharamkan. Mungkin ada niat tertentu dalam tindakan tersebut.

"Sepatutnya KDN teliti dahulu dengan mendapatkan bantuan pakar sejarah. Bukannya haramkan dulu, baru kaji. Secara peribadi, saya harap KDN teliti semula kandungan komik selain memahami niat sebenar penerbit yang mengeluarkan bahan bacaan tersebut," katanya pada sidang media di pejabatnya tadi.

Beliau berkata, komik tersebut diterbitkan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada rakyat di negara ini berhubung pembangunan ekonomi di China.

"Terlalu banyak syak wasangka ke atas China (mungkin disebabkan ada unsur politik) dan ramai yang belum kenal negara itu, maka komik ini diterbitkan. Walaupun China dikatakan mengamalkan komunisme, namun pembangunan ala sosialismenya berjaya apabila ekonomi China setanding Amerika Syarikat.


"Inilah usaha Dr Hew Kuan Yau dalam memperkenalkan China kepada rakyat Malaysia. Beliau menerbitkan komik itu sebagai satu pengenalan alternatif kepada orang awam untuk mendekati China dalam pembangunan ekonomi sekarang," katanya.

Kon Yeow turut mengulangi bahawa Kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai hubungan dengan muzium tersebut yang mana hanya membiayai kos sewaan premis yang terletak di tingkat 2 ICT Mall, Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar).

"Apa yang diharamkan adalah komik, bukannya muzium. Dan saya ulangi, muzium itu bukan milik kerajaan negeri. Pihak muzium hanya memilih ruang di Komtar pada 2016. Kebetulan ketika itu, kerajaan negeri dalam usaha untuk merejuvenasi Komtar dengan membawa unsur dan perniagaan baharu.

"Usaha itu juga sebagai rejuvenasi Komtar sebagai pusat pentadbiran kerajaan, pusat membeli belah dan pusat sivik. Oleh itu, kita bersetuju agar muzium itu dibuka di Komtar. Ini kerana, muzium itu adalah salah satu produk pelancongan kerana ia adalah yang pertama di Asia," katanya.

Tambahnya, Muzium Kebangsaan Komik Asia bertindak mempromosi kreativiti dan inovasi animasi selain menganjurkan pelbagai acara yang menampilkan ramai kartunis terkenal.

"Di atas pertimbangan itu, kerajaan negeri setuju untuk berkolaborasi dengan membiayai sewaan premis sahaja. Kita tidak membiayai apa-apa yang ada di muzium itu seperti pameran atau infrastruktur.

"Itu sahaja hubungan kerajaan negeri dengan muzium itu yang mana, perjanjian pembiayaan sewa premis ini akan dibuat sehingga Disember 2020," katanya.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2BIuJe6
via IFTTT