Sunday 21 July 2019

Tular Video Aksi Bahaya Kanak-Kanak Bertenggek Di Belakang Kereta Sedang Memecut Di Jalan


Baru-baru ini telah tular satu video di Facebook yang memaparkan aksi ala Superman dua orang kanak-kanak lelaki.

Namun, jika sebelum ini aksi sedemikian sering kita lihat dilakukan di atas sebuah motorsikal atau basikal lajak, kali ini ia agak berbeza kerana dilakukan di atas sebuah kereta.


Aksi dua orang kanak-kanak itu sempat dirakam oleh orang ramai dan ia telah menimbulkan tanda-tanya kepada wargamaya yang menontonnya mengenai tujuan sebenar pelaku dan pemandu melakukan lagak sebegitu.


Lagak bahaya itu dipercayai dilakukan di atas jalan utama berdekatan Taman Scientex, Pasir Gudang menurut pengirim video berkenaan. Bagaimanapun maklumat tersebut tidak dapat disahkan.


Apa yang lebih merisaukan apabila pemandu kereta jenis Toyota Vios terbabit turut dikesan melanggar lampu isyarat merah dalam video tersebut.

Tiada maklumat lanjut mengenai kejadian ini dan tidak dapat dipastikan siapa sebenarnya pemandu kereta tersebut serta hubungannya dengan kanak-kanak terlibat.


UPDATE: Polis kesan individu pandu kereta, dua kanak-kanak meniarap pada cermin belakang

Polis Johor sedang mengesan individu yang memandu sebuah kereta dengan dua kanak-kanak meniarap di cermin belakang dan bonet kenderaan itu, seperti yang tular dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, ketika kejadian, individu berkenaan yang memandu kereta Toyota Vios turut didapati melanggar lampu isyarat merah.

"Pada 12.43 malam tadi, polis menerima aduan daripada seorang individu berhubung penularan rakaman video dan gambar yang dikongsi di laman Facebook 'Komuniti Taman Scientex' yang disyaki berlaku di kawasan Taman Scientex Pasir Gudang.

"Perbuatan yang dilakukan dalam video berkenaan (meniarap pada cermin belakang dan bonet kereta) boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, berikutan insiden itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik, pemandu dan juga kanak-kanak yang terlibat dan menurutnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perlakuan atau perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri, orang lain.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu agar menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Seri Alam dengan menelefon 07-3864 222 untuk membantu siasatan. – Bernama


from Sehinggit Media https://ift.tt/32HCOft
via Merah Hati Cintaku