MELAKA TENGAH - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini tegang apabila Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Norhizam Hasan Baktee mengeluarkan perkataan 'UMNO mati'.
Ketegangan itu tercetus apabila Norhizam (DAP-Pengkalan Batu) mengeluarkan perkataan itu ketika menjawab soalan tambahan Ng Gue Teck (DAP-Klebang) mengenai pengurangan wang sara hidup nelayan dengan menyatakan peribahasa 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, UMNO mati meninggalkan hutang'.
Ucapan perbahasan berkenaan menyebabkan Datuk Idris Haron (BN-Sungai Udang) bangun mencelah dan meminta Norhizam menarik balik perkataan tersebut sebelum mengeluarkan perkataan 'bodoh'.
Keadaan bertambah tegang apabila, Datuk Ghazale Muhamad (BN-Rim) turut bangun dan menyatakan peraturan 20(1) dalam buku peraturan dewan sebelum menafikan bahawa UMNO tidak mati dan masih lagi wujud sebelum berlaku pertikaman lidah di antara wakil rakyat kerajaan negeri dan pembangkang.
Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar kemudian mencelah dan memberikan penangguhan seminit untuk wakil rakyat bertenang sebelum dewan kembali tegang hingga menyebabkan Norhizam turut mengeluarkan perkataan 'bodoh' terhadap Ghazale dan tidak mahu menarik balik dengan alasan Idris juga tidak menarik balik perkataan yang dikeluarkan terhadap dirinya.
Tindakan tersebut menyebabkan beberapa wakil rakyat BN bangun dan menyatakan ketidakpuasan hati termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali; ADUN Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2lbQ8Y5
via Merah Hati Cintaku