Saturday, 13 July 2019

Dalang Sebar Video Haziq Sudah Dikenal Pasti


POLIS sudah mengenal pasti dalang utama terbabit penyebaran video seks membabitkan

Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, dalang utama itu terbabit dalam satu pakatan atau konspirasi yang merancang rakaman berkenaan.

Katanya, polis sudah mempunyai petunjuk mengenai siapa individu yang merancang rakaman berkenaan.

“Dalang utama memang sudah dikenal pasti... polis ada bayangan (petunjuk) mengenai sesiapa individu yang bertanggungjawab.



“Ada satu bentuk pakatan atau konspirasi untuk merakamnya," katanya kepada wakil media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perumahan Polis Blok Melati di Setiawangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditanya sama ada dalang yang sudah dikenal pasti itu membabitkan mana-mana individu dalam parti politik, beliau bagaimanapun enggan mengulasnya.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan sehingga individu bertanggungjawab dikenakan tindakan undang-undang.

“Tidak kira sama ada dia ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu berkepentingan kita (polis) akan tetap ambil tindakan.

"Tindakan polis adalah buta terhadap individu berkepentingan atau mempunyai jawatan tertentu kerana undang-undang tidak mengenal sesiapa sahaja," katanya.

Abdul Hamid berkata, polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu berdasarkan arahan dikeluarkan pejabat Peguam Negara.

"Sebelum ini, polis sudah menghantar kertas siasatan kes itu kepada pejabat Peguam Negara sebanyak dua kali, namun ia dipulangkan semula.

"Jadi, menerusi perbincangan diadakan, polis akan mengambil beberapa tindakan sebagaimana arahan pejabat Peguam Negara bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan semula," katanya

Beliau berkata, kali terakhir kertas siasatan dihantar ke pejabat Peguam Negara pada Khamis lalu dan siasatan kes seperti itu sememangnya akan mengambil masa.

Katanya, sebelum ini juga, polis sudah menahan beberapa individu yang dikenal pasti terbabit dalam penyebaran video berkenaan dan mereka sudah dibebaskan selepas keterangan mereka dirakamkan.

“Sebaik siasatan untuk mengaitkan dalang berkenaan selesai, kita akan terus melakukan tindakan menahannya semua yang terbabit.

“Malah, mereka yang terbabit dalam menyebarkan video lucah hubungan sejenis itu juga akan diambil tindakan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

from Sehinggit Media https://ift.tt/2O9IM5R
via Merah Hati Cintaku