Saturday, 13 July 2019

Sambutan 'Bossku' Bukti Rakyat Rindu Zaman Saya - Najib


Selepas sekian lama berkempen dengan gelaran "bossku", bekas perdana menteri, Najib Razak menyimpulkan bahawa sambutan hangat yang diterimanya membuktikan rakyat merindui era pentadbirannya.

Jelas Najib, kempen "bossku" adalah usahanya dalam mendekati rakyat bagi memahami denyut nadi dan permasalahan mereka.

“Saya mahu terangkan bahawa 'bossku' ini adalah rakyat, bukan saya. Saya buat cara ini untuk tahu apa permasalahan, denyut nadi serta aspirasi rakyat dan saya dapat buat kesimpulan bahawa tuan-tuan sekalian barangkali rindu zaman saya.

“Malam ini juga bukanlah malam untuk bercakap tentang politik tetapi untuk kita sambut gerakan bossku. Insyaallah kita boleh melakukan perubahan ke arah yang lebih baik lagi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Najib berkata demikian ketika bersama orang ramai di sebuah kafe di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, malam tadi.

Gelaran "bossku" diraih Najib selepas tidak lagi menjadi perdana menteri susulan kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 tahun lalu.

Ia dilihat sebagai salah satu usaha oleh bekas presiden Umno itu untuk membuat penampilan semula dalam usahanya meraih sokongan rakyat.

Malah, melalui gerakan "bossku", Najib juga turut aktif berkempen dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau yang menyaksikan BN beroleh kemenangan.

Melalui kempen "bossku" juga menyaksikan Najib dilantik selaku pengerusi lembaga penasihat BN oleh Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber: Malaysiakini


from Sehinggit Media https://ift.tt/2XHUj0y
via Merah Hati Cintaku