Monday, 15 July 2019

Kad Kredit Najib Diguna RM3.3 Juta Dalam Masa Sehari


KUALA LUMPUR: Dua kad kredit milik Datuk Seri Najib Razak dibelanjakan sehingga RM3.3 juta dalam masa sehari, antaranya di butik barangan kemas De Grisogono, Itali pada 8 Ogos 2014.

De Grisogono adalah butik barangan kemas mewah Swiss yang diasaskan di Geneva, Switzerland pada tahun 1993 oleh pakar berlian hitam Itali berasal dari Lubnan, Fawaz Gruosi.

Penyata kad kredit bekas Perdana Menteri itu menunjukkan wang berjumlah RM2.86 juta dibelanjakan di butik barangan kemas itu menggunakan kad kredit Mastercard Ambank miliknya.

Bagi kad kredit Visa Ambank pula, menunjukkan dua transaksi pembayaran berjumlah RM456,360.51.

Keterangan transaksi kad kredit itu dikemukakan Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong, 58, ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed pada sesi pemeriksaan utama.

Eng Leong berkata, kedua-dua kad kredit Ambank itu mempunyai had penggunaan berjumlah RM3 juta.

Katanya, ada dua lagi transaksi kad kredit Mastercard pada 4 Januari 2015 di Shangri La Hotel Bangkok berjumlah RM127,017.46.

Beliau berkata, sebanyak RM466,330.11 dibelanjakan melalui transaksi kad Visa di butik mewah, Chanel Honolulu, Amerika Syarikat pada 22 Disember 2015.

Ketika ditanya Budiman sama ada transaksi menggunakan dua kad kredit itu dibuat bayaran balik, Eng Leong menjawab ‘ya’.

Budiman: Melalui penyata kad kredit, adakah pembayaran dibuat untuk hutang kad kredit?

Eng Leong: Ada

Budiman: Bila?

Eng Leong: Untuk kad kredit Mastercard sebanyak RM2,833,147.21 dibayar pada 13 Ogos 2015.

Budiman: Bagaimana untuk Visa Platinum?

Eng Leong: Tarikh yang sama iaitu 13 Ogos 2015 iaitu sebanyak RM449,586.95.

Ketika disoal balas peguam bela Harvinderjit Singh, saksi pendakwaan itu setuju bahawa berdasarkan penyata kad kredit pada April 2015, bayaran terakhir dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Selepas diperiksa semula oleh Budiman, saksi itu memberitahu bahawa pembayaran dibuat menerusi akaun semasa Najib yang berakhir dengan nombor 880 di Ambank.

Katanya, Najib bagaimanapun tidak memfailkan laporan berhubung lebih RM3.3 juta yang dibelanjakan menggunakan dua kad kreditnya antara Ogos 2014 hingga Januari 2015.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sumber: Berita Harian Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2l9vHel
via Merah Hati Cintaku