Monday 15 July 2019

Ibu Enam Anak Maut Dirempuh Ketika Hantar Jualan Kuih


JASIN - Perjalanan seorang ibu enam anak menghantar jualan kuih-muih yang dibuatnya bagi membantu pendapatan suami berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Pekan Umbai, Jalan Melaka-Muar di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, Sariani Mohd. Sharif, 44, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Menurut suaminya, Roszainizam Saring, 49, dia yang baru pulang dari tempat kerja di Ayer Keroh pada pukul 7.20 pagi terkejut apabila mendapati empat orang anak mereka masing-masing berusia 15, 14, 11 dan enam tahun menangis teresak-esak dan tidak ke sekolah.

"Biasanya arwah akan menghantar anak-anak ke sekolah menaiki kereta selepas selesai menghantar kuih-muih, namun pagi tadi adik-beradik itu masih di rumah dan menangis memberitahu bapa saudara mereka memaklumkan ibu terlibat kemalangan.

"Saya tidak sangka, pengorbanannya membantu kami sekeluarga berakhir pagi tadi, malah saya masih teringat sikap arwah yang tiba-tiba meminta kami duduk lebih rapat ketika makan tengah hari semalam," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Jasin di sini tadi.

Roszainizam berkata, isterinya itu rajin membuat pelbagai kuih-muih termasuk koci, talam, karipap dan rengas untuk jualan di empat buah gerai sekitar Umbai sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang sedang melintas jalan selepas menghantar kuih-muih dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan dari arah Muar ke Melaka yang belum dikenal pasti.

"Mangsa yang cedera dan terbaring kemudian dilanggar pula oleh sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang gagal mengelak.

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada," katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Sumber: Kosmo Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2M229er
via Merah Hati Cintaku