Seorang pelajar maut setelah kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 53.8 Jalan Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa. FOTO - Ihsan Pembaca
GERIK: Seorang pelajar lelaki maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 53.8 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa di sini, hari ini.
Nahas jam 12.50 tengah hari itu membabitkan kereta jenis Honda dinaiki empat orang termasuk tiga beradik dengan MPV Nazaria dipandu lelaki berusia 56 tahun.
Kemalangan mengorbankan Muhammad Ammar Jamsari, 11, berasal dari Kampung Chekok Serendah, Kelantan yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata abang mangsa yang menaiki kereta sama iaitu Mohammad Haqim, 21, dan Muhammad Hatta, 19, serta seorang lagi penumpang iaitu Ahmadu Rifa'e Hanifah, 24, dilaporkan cedera.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik manakala MPV dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di laluan selekoh, kereta berkenaan dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan berpusing lalu memasuki laluan bertentangan.
"Ia kemudian bertembung dengan MPV dan kesan kejadian menyebabkan Muhammad Ammar meninggal dunia akibat cedera parah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, Ahmadu Rifa'e yang memandu cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Jeli, Kelantan, manakala Mohammad Haqim yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan Muhammad Hatta dirawat di Hospital Gerik.
"Pemandu MPV tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.