Wednesday 20 June 2018

Elvina Cemas Alami Pendarahan Di Lokasi Penggambaran


KUALA LUMPUR : Pelakon, Datin Elvina Mohamad, 23, yang kini hamil tiga bulan berdepan detik cemas apabila mengalami pendarahan di lokasi penggambaran akibat terlalu penat bekerja.

Elvina yang bunting pelamin mengakui, tidak begitu bertenaga mengharungi trimester pertama kehamilan terutama sepanjang Ramadan lalu, namun terpaksa menggagahkan diri kerana terikat dengan komitmen penggambaran.

"Saya tidak tahu diri hamil kerana sebelum ini, mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu.

Namun, selepas dua kali membuat sendiri ujian kehamilan, saya bergegas ke hospital bagi mendapatkan pengesahan doktor.

"Cemas juga apabila berlaku pendarahan ketika saya sibuk di lokasi penggambaran. Keluarga juga risau memandangkan ini pengalaman pertama saya hamil. Mungkin saya terlalu penat bekerja, pada masa sama turut berpuasa.

"Alhamdulillah, mujur tiada apa-apa berlaku. Usia kandungan saya juga sudah memasuki tiga bulan, malah seluruh keluarga begitu teruja memandangkan bayi yang bakal lahir ini adalah cucu sulung kedua-dua belah pihak," katanya kepada BH Online.


Elvina mendirikan rumah tangga dengan usahawan dan selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd Haniff Borhan, 32, pada 18 Mac lalu.

Pelakon yang semakin menyerlah menerusi drama rantaian, Isteri Untuk Diiktiraf itu berkata, selera makannya semakin bertambah terutama setiap kali menerima kunjungan tetamu sepanjang minggu pertama Aidilfitri.

"Melihat tetamu menjamu selera, saya juga tidak ketinggalan untuk turut serta. Setiap kali menerima kunjungan tetamu, setiap kali itu juga saya duduk di meja makan untuk menikmati hidangan bersama-sama.

"Alhamdulillah, buat masa ini, saya masih belum mengidam makanan yang pelik. Cuma, hari itu saya teringin menjamah mangga harumanis. Mujur ketika ini, memang musimnya, jadi saya terus membeli sekotak bagi menghilangkan keinginan itu," katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Elvina berkata, ketika ini dia masih menjalani drama bersiri, Sejuta Rasa Buat Adelia yang menampilkan Aliff Aziz sebagai teraju utama.


from Sehinggit Media https://ift.tt/2M6gEdG
via Merah Hati Cintaku