Thursday 21 June 2018

Dr Mahathir Beritahu Najib Rakyat Tak Bodoh


PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Datuk Seri Najib Tun Razak penipu selepas dakwaannya mengatakan tidak tahu wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang muncul dalam akaun peribadinya.

Melalui wawancara eksklusif bersama Malay Mail, Dr Mahathir memberitahu adalah tidak masuk akal Najib selaku orang nombor satu tidak mengetahui transaksi berkenaan sedangkan segala dokumen ada tandatangannya.

“Siapa yang mahu mempercayai bahawa dia tidak tahu ketika dia menandatanganinya? Segala wang yang masuk dan keluar dari pinjaman pertama sebanyak RM42 bilion, semua ada tandatangannya.

“Kalau dia tidak tahu, mestinya dia tidak faham apa erti tandatangan,” katanya.

1MDB mengumpulkan RM42 bilion hutang sejak bertapak pada 2009, dan Dr Mahathir telah mempersoalkan keberadaannya sejak 2015.

Pada Jun 2015, Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy cuba menjelaskan ke mana wang itu pergi dan memberikan pecahan terperinci.

Bercakap kepada agensi berita Reuters dalam laporan semalam, Najib menyalahkan penasihatnya dan lembaga 1MDB kerana tidak mendedahkan dakwaan berkenaan kepada dirinya.

Najib mendakwa, beliau tidak menyedari bahawa wang yang dipindahkan melalui akaun peribadinya adalah dari 1MDB dan digunakan untuk membeli aset termasuk kapal layar, lukisan, barang kemas, dan hartanah.

“Kami ada semuanya. Kami tahu berapa banyak wang yang masuk ke dalam akaunnya, “ kata Dr Mahathir hari ini sambil merujuk kepada dokumen yang membuktikan penglibatan Najib dalam menggerakkan wang berkenaan.

Dr Mahathir pada awal minggu ini memberitahu Reuters bahawa pihak berkuasa mempunyai ‘kes yang hampir sempurna’ terhadap Najib untuk tuduhan menggelapkan dana, penyelewengan dan rasuah.

Dr Mahathir berkata, bahawa adalah tidak masuk akal bagi seseorang untuk mengarahkan RM2 bilion untuk dipindahkan ke dalam akaunnya tetapi pada masa yang sama enggan dimaklumkan tentang transaksi itu.

Beliau merujuk kepada kira-kira AS$700 juta yang didakwa disalahgunakan dari 1MDB ke dalam akaun Najib, seperti yang diperincikan oleh penyelidikan anti-kleptokrasi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

“Ini tidak boleh. Kerana saya perlu menandatangani untuk menggunakan wang itu. Untuk menggunakan wang itu, saya perlu mengeluarkan cek. Najib selalu menganggap bahawa orang bodoh,” katanya.

Dr Mahathir memberitahu Reuters sebelum ini bahawa penyiasat ingin membawa ‘beberapa tuduhan’ terhadap Najib berdasarkan penyalahgunaan kuasa ketika beliau menjadi perdana menteri.

Beliau juga dipetik berkata bahawa Malaysia dijangka membuat penangkapan pertama dalam kes 1MDB dalam tempoh beberapa bulan dan berharap dapat memulakan perbicaraan menjelang akhir tahun ini.


from Sehinggit Media https://ift.tt/2ls2wjz
via Merah Hati Cintaku