Pemegang trofi Top Top MeleTop Wanita Anugerah Meletop Era 2018 (AME2018), Neelofa memohon jasa baik netizen supaya memberi ruang kepada adik-beradiknya yang lain, terutama adik bongsu perempuan, Nur Ameera Khan untuk menjadi lebih matang dan belajar daripada kesilapan terhadap apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Kongsi Neelofa, adik-beradinya bukanlah secara langsung terlibat dalam industri seni, dan mereka bukannya selebriti.
“Sebenarnya tidak adil kerana mereka bukan secara langsung terlibat dalam industri seni. Mereka bukan selebriti, terutamanya adik perempuan bongsu saya. Lagipun, dia hanya berusia 16 tahun, bakal menginjak usia 17 tahun pada tahun ini.
“Kadang-kala perlu diberi ruang untuknya jadi lebih matang dalam proses menjadi dewasa, seterusnya belajar daripada kesilapan. Bukan terus menghukum dan kritiknya secara terus-menerus. Apa pun saya bangga dengan dia kerana dia kuat,” kata Neelofa kepada MH sejurus ditemui di sidang media pasca AME2018 pada Ahad.
Bagaimanapun, pengacara program MeleTop di samping Nabil Ahmad ini juga turut rasa bangga terhadap adiknya kerana semangatnya yang begitu kuat.
“Malah, dia lebih kuat daripada saya sebenarnya sebab saya sendiri tak rasa boleh jadi sekuat dia ketika di usianya. Banyak yang dia ambil dan contohi daripada saya dan harap saya boleh sentiasa menjadi kakak yang boleh memberikan inspirasi kepadanya untuk buat perkara yang lebih baik dan memberi inspirasi di dalam hidup,”ujar Neelofa optimis.
Ditanya mengenai sejauh mana dirinya cukup kental di dalam menghadapi kecaman sepanjang bergelar selebriti pula, anak jati Kelantan ini mengakui apa yang penting ialah perlu kenali diri dan ada rasa tanggungjawab di dalam hidup.
“Kalaulah saya ni cepat putus semangat, sudah tentulah saya sudah abaikan tanggungjawab. Namun saya perlu juga fikir daripada banyak sudut.
“Kekuatan saya juga sebenarnya datang daripada pelbagai sudut yang berbeza,” kata Neelofa yang tidak menafikan, ada ketikanya dia turut menangis di saat nama terpalit dengan pelbagai kecaman.
Dalam perkembangan lain, Neelofa yang bakal muncul menerusi drama rantaian adaptasi novel, Ti Amo Sweetheart 100 Hari bersama Zul Ariffin ini bakal melancarkan satu kempen berhubung isu siber buli.
Kempen berkenaan khusus untuk memberi panduan dan kesedahan terhadap golongan yang suka mengecam menggunakan media sosial sebagai platform. Bukan hanya kepada selebriti, tetapi juga terhadap individu lain.
Sumber: Media Hiburan
from Sehinggit Media https://ift.tt/2qjlOde
via Merah Hati Cintaku