PELAKON Ozlynn Wati memberitahu kehamilan untuk anak kelimanya yang kini sudah mencecah usia enam bulan adalah pengalaman yang paling mencabar buat dirinya.
Jelas pemilik nama sebenar Rozlinawaty Ismail, 37, ini, sepanjang lima bulan pertama mengandung dia hilang selera makan selain sering tidak mempunyai tenaga dan ia pengalaman yang belum pernah dialami walaupun sudah mengharungi empat kehamilan sebelum ini.
"Alhamdulillah empat kali saya hamil sebelum ini langsung tiada masalah atau pun alahan tetapi yang kelima ni memang pengalaman baru.
"Perkara yang tidak pernah saya rasa atau alami sebelum ini semuanya terjadi kali ini termasuk hilang selera makan dan tiada tenaga.
"Bayangkan lima bulan pertama hamil saya memang tak lalu nak makan apa pun," ujarnya.
Kandungan Ozlynn kini sudah memasuki usia enam bulan.
Dalam pada itu, Ozlynn berkata, sejak hamil anak kelimanya dia secara tiba-tiba suka kepada keju dan ia adalah antara makanan yang boleh diterima tekaknya sepanjang lima bulan lalu.
Dedahnya, dia sebelum ini bukanlah penggemar keju dan berasa pelik menjadi obses kepada keju secara tiba-tiba.
"Nak kata mengidam pun tidak... tetapi keju je lah yang boleh saya telan walaupun sebelum ini pandang keju pun tidak.
"Sampai kadang-kadang, pukul 2, 3 pagi suami terpaksa keluar beli keju sebab teringin," katanya.
Ozlynn kini lebih banyak berehat.
Sementara itu, Ozlynn mendedahkan dia mendapat tahu dirinya hamil ketika sedang bertanding dalam program Super Spontan Superstar pada tahun lalu dan ketika itu kandungannya mencecah usia enam minggu.
Kata Ozlynn, dia mengambil keputusan merahsiakan perkara itu sehingga pertandingan selesai kerana tidak mahu menimbulkan masalah kepada produksi.
"Kawan-kawan dalam pertandingan apabila dapat tahu mereka risau sebab faham sahajalah ketika bertanding aksi kami semuanya kasar dan sebab itu saya tidak mahu dedahkan.
"Tapi Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku dan mungkin pengalaman sebelum ini banyak bantu untuk saya berhati-hati," ujarnya.
Sumber: Mstar Online
from Sehinggit Media http://ift.tt/2sPIXby
via Merah Hati Cintaku