Friday, 23 February 2018

'Kami Mahu Tengok CCTV' - Keluarga Vasanthapiriya Harap Kebenaran Dapat Didedahkan


GEORGETOWN: Keluarga mendiang M Vasanthapiriya, yang maut akibat bunuh diri ekoran dituduh mencuri telefon bimbit gurunya, berharap kebenaran dapat didedahkan dalam proses inkues yang akan dijalankan polis.

Bapa mendiang Vasanthapiriya, R Muniandy, berkata keluarganya hanya mampu menerima hakikat mengenai kematian remaja perempuan berusia 14 tahun itu selepas kebenaran mengenai kes terbabit diperoleh.

Muniandy, 54, berkata, sehingga kini, mereka tidak dapat menerima kenyataan berhubung kematian Vasanthapiriya ekoran masih belum menerima penjelasan dan pembelaan yang sewajarnya.

"Tidak sehari pun berlalu dengan mudah selepas pemergian anak perempuan kesayangan kami. Setiap detik kami terkenangkan nasib malang yang menimpanya.

"Justeru, kami bersyukur apabila Peguam Negara memberi kebenaran kepada polis untuk menjalankan prosedur inkues ke atas kes kematian anak saya. Akhirnya, kami bakal tahu punca kes ini.

"Kami sangat berharap kes ini dapat diadili sebaiknya, sekali gus mengenal pasti punca mengapa anak kami membunuh diri sedangkan telefon bimbit gurunya yang hilang itu gagal dijumpai bersama mendiang," katanya ketika dihubungi.

Muniandy berkata, pihaknya juga berharap dapat meneliti kandungan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan memuatkan bibit kejadian kecurian telefon bimbit milik guru terbabit.

"Sesetengah media , baru-baru ini melaporkan rakaman CCTV itu dikatakan menunjukkan Vasanthapiriya mencuri telefon bimbit terbabit. Ia tidak benar. Anak saya tidak akan berbuat demikian. Kami mahu lihat sendiri rakaman CCTV itu," katanya.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, memaklumkan pihaknya sudah menerima kebenaran daripada Peguam Negara untuk menjalankan prosedur inkues ke atas kes kematian mendiang Vasanthapiriya.

Beliau dilapor berkata, pihaknya masih menunggu tarikh sesuai untuk menjalankan proses berkenaan dengan 30 saksi akan dipanggil.

Dalam kejadian 24 Januari lalu, Vasanthapiriya, dipercayai cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di biliknya akibat tertekan selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolahnya.

Kejadian itu disedari bapanya yang membawa remaja terbabit ke hospital, tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada jam 3.30 pagi, 1 Februari lalu.

Sementara itu, Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel, menggesa Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPNPP) mendedahkan tindakan yang diambil ke atas guru terbabit, kepada umum.

"Saya percaya JPNPP mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani situasi ini secara dalaman. Justeru, kenapa perlu tunggu pihak polis?

"Kami mahu tahu tindakan dalaman yang diambil jabatan berkenaan ke atas guru terbabit, selain perlu mendedahkan sebarang kesalahan yang mungkin dilakukan guru berkenaan dalam kes ini," katanya.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media http://ift.tt/2HHiRLx
via Merah Hati Cintaku