Suspek dikenali sebagai Pak Sheikh berjaya ditangkap polis dalam Ops Sarang Bersepadu IPD Tampin di Felda Pasir Besar Gemas.
TAMPIN – Seorang lelaki berumur 55 tahun yang dikenali sebagai Pak Sheikh dalam kalangan peminat air ketum berjaya ditangkap polis susulan dipercayai terbabit dalam aktiviti menanam, memproses dan menjual air ketum berkenaan sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamazah Ab Razak berkata, suspek yang hampir bergelar warga emas berkenaan merupakan salah seorang daripada 11 penagih dan pengedar yang berjaya ditangkap dalam Ops Sarang Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bermula jam 12.00 tengah malam.
Menurutnya, suspek yang ditangkap di rumahnya di Felda Pasir Besar, Gemas menggunakan alasan menjual air ketum berkenaan bagi membantu mengubat orang-orang muda yang ketagihan arak dan juga dadah.
“Berdasarkan daripada percakapan suspek, air ketum ini juga telah dijampi bagi tujuan perubatan berkenaan. Berdasarkan siasatan, harga jualan untuk sebotol air ketum yang dikenakan suspek adalah RM10 di sekitar Gemas.
“Dalam tangkapan ini, kita turut merampas air ketum yang dianggarkan bernilai RM150 hingga RM180. Suspek juga ada menanam pokok ketum di tepi rumah dan dianggarkan usia pokok yang mencecah hampir satu meter berkenaan baru sahaja tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini.
Hamazah berkata, dalam operasi yang berakhir jam 6.00 pagi berkenaan, seramai lima pegawai dan 24 anggota telah membuat 14 buah serbuan di lokasi yang telah dikenalpasti di sekitar Tampin, Gemencheh, Gemas dan Air Kuning Selatan.
Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, seramai 16 orang telah diperiksa dan 12 daripadanya ditangkap polis susulan terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah serta air ketum di bawah Akta Racun 1952.
“Kesemua suspek dianggarkan berumur 28 hingga 57 tahun. Sembilan daripadanya sudah berkahwin dan dua lagi bujang. Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Dari tangkapan berkenaan, tiga kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, empat kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan lapan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sumber: Sinarharian
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2tL27Lx
via IFTTT