Wednesday, 21 June 2017

Kes Pukul Beramai-ramai..Empat Individu Termasuk Seorang Wanita Dituduh Membunuh


EMPAT individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian lelaki yang dipukul selepas didakwa mencabul di kompleks beli-belah di Jalan Putra, Alor Setar, di sini, pada 28 Mei lalu.

Tertuduh Farah Waheda Abu Bakar , 21, Mohd Shahrul Ikhwan Shahbani, 22, Hor Yong Wei, 23, dan Chee Woie Yong, 29, mengangguk faham sebaik kertas pertuduhan dibaca bersama jurubahasa di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kesemua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama lima orang yang masih bebas dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas Mohammad Fisol Abu, 31, di Plaza Sentosa, Jalan Putra, di sini, jam 4 petang, 28 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Rifaie Mohamed Riyaluddin manakala Hor Yong diwakili peguam bela Pyara Singh dan Chee Woie diwakili peguam bela Lim Wei Yong.

Bagaimanapun dua tertuduh lagi tidak diwakili peguam bela dan mahkamah menetapkan 25 September untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta hasil bedah siasat.

Noor Farah juga tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin.

Pada 28 Mei lalu, lelaki berusia 31 tahun maut dibelasah orang ramai berikutan dakwaan mencabul seorang wanita dalam tandas di tingkat satu kompleks beli-belah dekat Jalan Putra, di sini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki berasal dari Yan itu didakwa memeluk dari arah depan sebelum menekup mulut wanita itu sebelum ditangkap dan dibelasah orang ramai.

Rentetan itu, dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), namun disahkan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2rBRQjZ
via IFTTT