Tuesday, 20 June 2017

Lihat Bagaimana Masjid Nabawi Dibersihkan Setiap Kali Selepas Berbuka Puasa


Selesai sahaja berbuka puasa dan solat Maghrib di Masjid Nabawi, para jemaah ada lebih kurang sejam setengah untuk sambung makan minum yang masih belum selesai tadi. Ada juga yang kembali ke hotel untuk mandi dan rehat.

Ada yang duduk lepak di kaki lima hotel, tunggu makanan di tekak turun habis ke perut. Sambil itu perhatikan bermacam feel perangai manusia dari berbagai bangsa dan negara. Yang paling menarik gaya mereka berpakaian.

Jemaah Pakistan dengan baju kurta mereka. Jejaka dari Turki pula biasanya berbaju kot, berseluar slack. Orang Indonesia berkain batik. Orang Melayu kita pula ada yang berbaju Melayu, bangga woih di Tanah Arab. Hihi. Selebihnya berjubah.

Desain jubah juga lain-lain. Ada potongan jenis Arab Mesir, besar dan luas di leher. Orang Sudan pula berjubah putih tiada kolar di leher, namun pergelangan tangannya pula besar. Bolehlah kalau nak masukkan kepala orang dalam itu. Hihi.

Kalau remaja Saudi pula, mereka lebih suka memakai jubah yang mengikut potongan badan, bersama serban merah di atas kepala. Sungguh menarik jika kita perhatikan semua ini.

Sampai saja waktu Isyak, semua berbondong-bondong menuju ke masjid untuk solat. Kita masuk ke sana dan terus ke saf paling depan kemudian solat sunat tahiyyatul masjid dengan tenang sekali. Tanpa ada gangguan sampah, kotor sisa-sisa roti atau biskut yang jatuh masa berbuka puasa tadi.

Pernah tak kita terfikir macam mana kawasan luar dan dalam masjid sentiasa bersih? Baiklah, saya ingin tunjukkan pada kalian antara watak penting yang bertanggungjawab menjaga tempat solat kita menjadi begitu selesa sekali.

Gambar di bawah saya ambil setengah jam setelah selesai berbuka puasa. Ketika ramai dari kita sedang berehat di bilik, makan dan minum dengan penuh berselera sekali, manusia beruniform biru inilah yang bertungkus lumus mengerah kudrat demi kepuasan para jemaah beribadat.

Dari pintu depan masjid, hinggalah ke pintu belakang. Mereka menggasak batang mop untuk bersihkan lantai yang tertumpah teh dan kopi. Mengutip gelas plastik yang ditinggalkan para jemaah atas rak kasut. Tolak dan tarik ke sana sini vakum untuk menyedut sisa-sisa roti dan biskut yang terjatuh. Menghampar karpet yang entah berapa kilogram beratnya supaya kita tak lagi solat di lantai marmar.

Semuanya itu demi keselesaan kita para jemaah. Penat mereka seperti kita juga, sama-sama berpuasa di siang hari.

Jadi kita kenalah tunjukkan sedikit penghargaan atas usaha mereka itu. Tak minta bayar pun. Cukuplah kita lemparkan senyuman pada mereka. Beri ucapan salam apabila ada berdekatan mereka. Doakan agar Tuhan jaga kesihatan mereka yang ikhlas jaga masjid nabi kita ini. Jika ada yang nak beri sedekah, sorok-soroklah sikit. Hehe.

Juga tak lupa moga Tuhan murahkan lagi majikan mereka. Yang dah jaga makan minum, sediakan tempat untuk berteduh dan beri mereka peluang untuk berkhidmat.


Abang di depan itu sapu mana-mana sampah yang boleh dicapai dengan tangan, guna penyapu kecil. Tengok di tangannya.


Depan tolak air. Yang belakang pula lap air guna alat berbambu serap air.


Itu semua sampah dalam plastik biru. Dibawa ke tempat pembuangan sampah.


Heret vakum itu ke sana ke mari. Sedut mana yang patut.


Tak cukup dengan batang mop. Mereka bawa masuk kereta pengemop woih. Power!


Abang ini berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain. Kutip jikalau ada sampah dari jemaah yang sedang bersantai.

Sumber: FB Najmi Farisham


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2sRObTg
via IFTTT