LANGKAWI, KEDAH - Rakaman video seorang wanita membaling selipar pada kereta seorang pemandu hanya kerana tidak puas hati ditegur merampas parking yang telah ditunggu, viral di media sosial.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7 petang Selasa, di Bazar Ramadhan, Kuah, Langkawi, Lim mendakwa pemandu Proton Persona itu telah merampas parking, menyerang keretanya dan menunjukkan isyarat lucah terhadap mereka.
Video yang dimuat naik Lim H. En itu semalam juga telah ditonton lebih 2 juta kali dan dikongsi 33,166 pengguna Facebook.
Menurut Lim, sebelum kejadian itu berlaku, dia sudah menyalakan lampu isyarat sebagai tanda mahu mengambil parking tersebut. Namun, belum sempat masuk ke parking itu tiba-tiba datang kereta yang lain memasuki parking berkenaan.
Lim: Ini parking kami sudah tunggu lama.
Lelaki terbabit: Aku masuk ikut belakang, you tunggu depan.
Lim: You tau undang-undang tak? I sudah bagi signal, hon you sudah, you masuk lagi.
Lelaki terbabit: You ada lesen?
Lim: Memang ada lar. Parking banyak, kenapa nak ambil parking ini?
Lelaki terbabit: Parking banyak, you pergi cari lain.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik Lim, bahagian pintu depan dan belakang sebelah kiri keretanya turut dihentam kerana tidak berpuas hati dengan teguran yang dibuatnya itu.
Malah, wanita yang dipercayai isteri kepada lelaki itu turut menghentak cermin kereta dan menunjukkan isyarat jari tengah sebelum membaling selipar ke arah cermin depan.
"Masing-masing bayar roadtax, tetapi kenapa perlu sampai jadi begini? Ini bukan soal bangsa tetapi ini masalah sikap individu. Kenapa perlu serang kami? Ini kan bulan puasa, malah kami juga menghormati bulan mulia anda," tulisnya.
Difahamkan, Lim telah membuat laporan polis pada hari kejadian. Namun belum ada sebarang perkembangan positif. Lim kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.
Penjelasan Pemandu Proton Persona
Sementara itu, pemandu kereta Proton Persona itu pula tampil memberi penjelasan dari sebelah pihaknya.
"Kami sampai bazaar lebih kurang jam 7 petang. Saya ternampak parking dan tanpa fikir apa-apa saya terus masuk sebab nak kejar masa beli juadah berbuka puasa. Bila sudah siap parking, kunci kereta, saya terus jalan ke bazar. Pada waktu itu tiada sesiapa yagn datang menyapa saya.
"Kemudian saya ternampak pemandu Cina itu mengundurkan kereta dan membunyikan hon panjang sehingga membuatkan semua orang memandang saya. Saya pun terus pergi ke arahnya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian.
"Dia kata, 'Itu parking saya! Bawa kereta tak ada lesen ka?' dengan nada yang marah. Saya pula malas nak bergaduh dan terus berjalan ke bazar. Bila separuh jalan, saya pusing ke belakang dan ternampak dia sedang merakam gambar kami.
"Saya patah balik dan tanya kenapa dia merakam gambar kami? Namun tiada jawapan yang diberi dan dia terus kunci pintu dan tutup cermin kereta, serta menunjuk penumbuk kepada kami yang mencetuskan perbalahan di antara kami.
"Mungkin di dalam rakaman video itu kami nampak bersalah sebab video sebelah pihak sahaja, tetapi apa yang dibuat oleh mereka tidak pula ditunjukkan," tulisnya seperti yang tersebar di media sosial.
Katanya lagi, dia menerima sahaja dengan hati yang ikhlas di atas komen-komen yang mencaci makinya dan memohon maaf sekiranya dia benar-benar bersalah.
"Tetapi jika dia yang bersalah, saya ingin dia membersihkan nama saya kembali. Viralkan juga penjelasan dari pihak saya seperti mana yang diviralkan oleh sebelah pihak Cina itu," tulisnya.
Sumber: The Reporter
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2shLQO9
via IFTTT