Saturday, 6 May 2017

'Mi Nampak Sendiri Kan? Sanggup Pula Mi Buat, Anak Bini Pakcik Pun Tak Sanggup'



Saya baru pulang ke pejabat dan menerima panggilan dari boss untuk melawat salah seorang pesakit saya. Ia mengambil masa 40 minit perjalanan dan saya kata okay. 

Ceritanya apabila saya berada di sana, rumah itu bersih dan pesakit itu sebenarnya adalah orang tua yang tinggal di rumah itu. Saya pergi ke biliknya. 

"Pakcik, ni Mi dah sampai," 

Pakcik itu hanya mendiamkan diri dan memandang jauh, langsung tak pandang saya. 

Saya tengok isterinya, mungkin usianya 20 tahun lebih mudah dari lelaki itu. Anak lelaki dan perempuannya dalam umur pertengahan 20-an agaknya. 

Saya bertanya, kenapa saya dipanggil ke sini, ada apa-apa yang saya boleh bantu? Lalu mereka menjelaskan lelaki tua itu berbau. Jururawat daerah kata mereka tidak datang untuk ini dan ahli keluarga kena uruskan lelaki itu sendiri. Sudah tentu mereka membebel tentang jururawat kerajaan tetapi saya terus memotong bebelan mereka dan tanya di mana luka yang berbau itu. 

"Tak, bukan itu. Abang Mi tak bau ke taik kencing berak abah tu?" soal si anak lelaki. 

"Okay, itu abang Mi ada baulah. Tapi apa masalah pakcik?" soal saya. 

"Tak ada siapa nak bersihkan. Gelilah. Bau melekat," jawab si isteri. 

"Makcik tidur di sini ke?" soal saya padanya. 

"Sejak dia sakit, makcik tidur di bilik lain. Senang sikit," katanya. 

Baru saya tahu bahawa itulah masalahnya dan silap saya bertanyakan semua soalan itu di depan lelaki tua berkenaan. Dia hanya memandang ke tempat lain. 

Kemudian saya bertanya di mana bilik air. Saya minta mereka sediakan air suam, besen basuh, suratkhabar lama, beg plastik, tiga tuala tangan, sabun, tisu basah jika ada dan bedak. Mereka tak ada sarung tangan, tak apa. 

"Macam nak bersalin pulak," seloroh si anak perempuan yang juga berani meminta untuk bergambar dengan saya selepas semuanya selesai. Saya hanya mengabaikan permintaannya itu. 

Saya suruh mereka semua keluar dari bilik. Saya marah sebenarnya tetapi saya perlu bercakap dengan pakcik ini terlebih dahulu.

"Pakcik, ni Mi kat sini. Takde orang lain. Mi tolong bersihkan pakcik ye?" 

Dia masih diam. Saya memerhatikan sekitar dan ternampak bekas bertutup. Bila dibuka, separuh daripadanya dipenuhi najis manusia. Saya buang ke dalam tandas dan basuh sebelum dilap sehingga kering serta diletakkan plastik di dalamnya. 

"Okay pakcik, Mi dah cuci baldi itu. Pakcik kencing dalam tabung juga ke?" 

Barulah dia memandang saya dan mengangguk kepalanya. 

Saya tengok bawah selimut dan sarung, ada bekas kencing. Mesti sudah lama berada di situ kerana ia penuh dengan air kencing. Saya hampir termuntah tetapi saya fikirkan perkara yang mengembirakan. Saya bawa ke bilik air dan cuci. 

"Pakcik, Mi cuci badan pakcik sikit, nak?" kata saya sambil senyum padanya. 

Dia membalas senyuman itu. Dia boleh duduk dan berjalan dalam jarak yang pendik. Boleh tahan. Dia pergi ke bilik air menggunakan kerusi mudah alih. Saya buka baju dan sarungnya, saya ambil kain basah dan gosok badan lelaki tua ini. Saya tanya sama ada dia nak cukur facial hair dan dia kata "Ya", itu perkataan pertama yang dia ucapkan. Saya tolong pegangkan cermin ketika dia sedang bercukur. 

Kemudian saya gosok badannya lagi. Dengan air yang mengalir, saya basuh paha dan kakinya. Dia menggigil. 

Terlalu sejuk ke?" soal saya. 

"Tak," katanya. 

Saya rasa dia malu, begitu juga dengan saya. Tetapi saya perlu lakukannya juga untuk kali ini. Saya tanya sama ada dia tidak kisah jika saya trimkan bulu kemaluannya. Dia kata, "Ya, silakan". 

Saya panggil isteri dia bawakan gunting. Dia tanya untuk apa dan saya jelaskan. Si isteri hanya ketawa dan memberikan saya pisau lipat. 

"Buang saja selepas pakai," katanya. 

Selesai pun ditrim. 

Semasa memandikan lelaki tua ini, saya menyuruh dua orang anaknya itu untuk mengemaskan bilik tersebut termasuk tukar cadar tilam, letak pakaian yang bersih. Selesai membersihkannya, pakcik itu masih tak banyak cakap dan hanya memandang jauh. 

"Pakcik dah makan?" 

"Dah," jawabnya. 

"Pakcik okay tak?" 

"Mi ada mata, Mi nampak sendiri kan? Yang pakcik hairan, sanggup pula Mi buat. Anak bini pakcik pun tak sanggup," katanya. 

Saya tahu dia sedih. Saya ketawa kecil dan kata, "Pakcik ni. Mi berani sebab pakcik laki-laki. Lagipun badan pakcik kecik, bolehlah. Kalau besar pun, Mi tak larat. Arwah atuk Mi pun Mi pernah mandikan dulu." 

Datang si isteri bawakan air teh dan biskut. Si isteri nampak gembira. 

"Senang nak jaga kalau bersih macam ni," katanya. 

Saya rasa nak tegur saja dia tetapi apa faedahnya buat begitu? 

"Makcik, meh sini Mi ajar macam mana nak jaga pakcik ye. Memanglah dia kena stroke. Tetapi bukan bermakna dia tak boleh berfungsi. Cuma lemah dan lambat sedikit," jelas saya. 

Saya ajar si isteri apa yang saya lakukan hari ini dan banyak lagi (maaf, malas nak taip). Si isteri pula tak habis-habis kata jijik, geli, nak muntah bagai. Saya tak tahan lagi. 

"Makcik, doalah banyak-banyak makcik tak jadi macam pakcik sebab nanti anak-anak makcik pun geli nak bersihkan berak kencing makcik. Mi balik dulu. 

"Pakcik kena makan ubat bagi sihat. Keluar jalan sikit, bagi kuat. Bagi senang nak jaga makan pakai sendiri ye." 

Saya sangat kecewa sebenarnya tetapi saya tak boleh berkata apa-apa. Dan jika saya berkata sesuatu, mungkin saya yang akan menyesal kesal. Serius. Tetapi ibu bapa saya ajar, jangan buat orang tua kecil hati. 

Di dalam kereta, saya menangis dan berkata pakcik itu mesti sedih dan kecewa. Saya tak kisah jika itu karma yang dia terima kerana sebelum ini dia adalah orang yang tidak baik atau apa-apa. Dia masih hidup sekarang dengan wang dan keluarganya di sekeliling. Namun berasa tidak berdaya, tidak diperlukan, sunyi dan menyusahkan orang lain. Tiada sesiapa pun yang mahu berada dalam keadaan seperti itu yang seolah-olah kehidupannya sudah berakhir. 

Saya menghubungi boss saya dan mengatakan saya dalam perjalanan pulang dan tanya kenapa saya yang perlu pergi? Dia jelaskan tetapi saya tak dapat kongsikan di sini.

Saya tak tahu bagaimana pakcik itu hidup setiap hari. Jika dia berada berdekatan, saya boleh jaga dia. Saya rasa, mungkin Allah ada perancangan lain untuknya. 

Saya okay sekarang. Saya tak ambil pun gambar di rumah itu. Ianya keterlaluan. Saya hanya ambil gambar semua jenis peralatan untuk menguruskan sisa yang digunakan dan berharap anda dapat belajar sesuatu darinya. 

Saya hanya seorang ahli farmasi, hanya seorang budka yang mempunyai pengalaman kerja. Saya suka kerja saya. Dalam hidup saya, selain dari keluarga saya telah berjanji dengan empat orang istimewa yang saya akan jaga selagi saya berkemampuan. Itu janji saya. 

Kenapa saya lakukan ini? Kerana siapa tahu siapa yang akan jaga saya kelak?

Sumber: The Reporter


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2pmhqZk
via IFTTT