KOTA BHARU: Simpati tanpa sebarang tindakan terhadap kekejaman ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar tidak membawa sebarang makna, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata umat Islam termasuk di Malaysia perlu melakukan sesuatu dengan melahirkan bantahan terhadap kekejaman pihak berkuasa Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya.
"Jangan cakap saja yang kita sedih dan pilu terhadap kejadian yang menimpa mereka (Rohingya). Sebagai umat Islam, kita (di Malaysia) perlu ada rasa bila cubit paha kiri, paha kanan turut terasa kerana umat Islam adalah bersaudara dan perlu saling membantu," katanya di sini, hari ini.
Mohamad Shukri berkata, Islam dituntut supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT apabila sesuatu musibah menimpa terhadap umat Islam.
"Seluruh umat Islam jangan kedekut untuk berdoa supaya musibah yang menimpa etnik Islam Rohingya mendapat petunjuk untuk ditangani dengan sebaiknya," katanya.
Mengenai Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima, Mohamad Shukri, berkata inisiatif itu perlu dijadikan contoh bagi menunjukkan prihatin terhadap nasib masyarakat Islam di Myanmar.
Katanya, Media Prima sentiasa di hadapan dalam membantu mereka yang menjadi mangsa bencana alam atau kesusahan atau bantuan kepada umat Islam yang ditindas.
"Jika setiap umat Islam di negara ini menderma RM1 untuk satu hari, bayangkan berapa banyak wang dapat dikumpul untuk membantu meringankan penderitaan yang sedang dilalui etnik Rohingya," katanya. - Berita Harian
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2g4rtxv
via IFTTT