Friday 25 November 2016

Myanmar Mahu Hapuskan Penduduk Rohingya, Tentera Myanmar Menembak Mati Lelaki Rohingya, Membunuh Dengan Kejam Kanak-kanak Dan Merogol Wanita.


DHAKA 25 Nov. - Myanmar didakwa sedang melakukan pembersihan penduduk Islam Rohingya ketika ribuan kumpulan pelarian yang tiba di Bangladesh menceritakan pengalaman ngeri mereka melihat insiden rogol secara berkumpulan, penyeksaan dan pembunuhan di Rakhine,

Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), John McKis­sick ketika ditemui portal BBC di bandar Cox’s Bazar yang bersempadan dengan Myanmar berkata, tentera Myanmar menembak mati lelaki Rohingya, membunuh dengan kejam kanak-kanak dan merogol wanita manakala rumah penduduk dibakar ataupun barang mereka dirampas.

“Sukar untuk kerajaan Bangladesh mengatakan pintu sempadannya dibuka kerana ia akan menggalakkan kerajaan Myanmar meneruskan kekejaman dan menghalau etnik Rohingya sehingga matlamat utama mereka iaitu membersihkan kaum minoriti itu dari Myanmar,” kata McKissick.

Kenyataan McKissick itu ter­nyata mengundang kemarahan Myanmar yang membidas kenya­taan ber­kenaan.

“Saya ingin bertanyakan profesionalisme dan etika yang diguna pakai dan dipatuhi oleh kakitangan PBB.

“Beliau sepatutnya bercakap berdasarkan fakta yang betul dan kukuh dan bukannya membuat dakwaan,” kata jurucakap kepada Presiden Myanmar, Zaw Htay.

Zaw Htay menambah, dakwaan McKissick bukanlah pertuduhan yang pertama kali dilemparkan terhadap Myanmar.

Lebih daripada 30,000 etnik Rohingya meninggalkan rumah mereka di Myanmar bagi melarikan diri daripada keganasan tentera ke negara jiran tetapi Dhaka menolak desakan antarabangsa yang meminta Bangladesh membuka pintu sempadannya bagi mengelak krisis kemanusiaan lebih buruk.


Sementara itu, seorang pela­rian, Deen Mohammad berkata, pihak tentera bertindak mengurung kira-kira 50 wanita dalam sebuah rumah dan mengunci mereka dalam sebuah bilik sebelum mereka diseksa dan dirogol.

Deen yang kehilangan dua anak lelakinya kerana ditahan tentera, berkata rumah penduduk turut dibakar, sama se­perti pengakuan pelarian yang tiba di Bangladesh.

Menurut pertubuhan Human Right Watch, mereka mendapati lebih 1,000 rumah penduduk di perkampungan Rohingya dibakar berdasarkan imej satelit yang diperoleh tetapi tentera menafikannya. - Utusan


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2g17hiU
via IFTTT