Sunday 26 July 2020

Suhakam Dakwa Usir Md Rayhan Sebagai Tindakan Yang Terburu-buru


SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) mendakwa tindakan mengusir keluar dan menyenarai hitam lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya sebagai tindakan terburu-buru.

Pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, tindakan sebegitu mungkin dilihat wajar dari segi perundangan negara serta bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia tetapi ia bukanlah penyelesaian kepada isu yang berlaku.

"Saya melihat pada ketika ini, sebaiknya biarkan polis menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk membuktikan kesahihan pendedahan Md Rayhan menerusi dokumentari yang disiarkan Al Jazeera iaitu tentang diskriminasi layanan pihak berkuasa Malaysia terhadap warga asing sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras Covid-19 di negara ini.


"Setelah polis selesai dengan siasatan mereka, barulah ditentukan bentuk tindakan untuk Md Rayhan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jerald berkata, sekiranya tindakan pengusiran dan senarai hitam itu diteruskan, Suhakam melihat ia akan memberi impak kepada imej Malaysia dan akan menakut-nakutkan warga asing lain yang tinggal dan bekerja secara sah di negara ini.

"Mereka akan beranggapan jika selepas ini berlaku perkara tidak betul yang mungkin dilakukan pihak berkuasa Malaysia ke atas mereka, mereka tidak boleh bercakap benar atau diberi ruang untuk membela diri.

"Jadi dalam situasi sekarang, saya menyarankan agar semua pihak berkuasa di negara ini untuk melihat sebarang kritikan yang dibuat terhadap mereka atau negara bukan sekadar kritikan tetapi sebagai maklum balas untuk memperbaiki perkhidmatan. Ambil secara positif," katanya.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/3f39Rzs
via Merah Hati Cintaku