Monday, 27 July 2020

Kemungkinan Gelombang Ketiga COVID-19 Di Malaysia Tetap Ada Jika Rakyat..


PUTRAJAYA : Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, tsunami atau gelombang ketiga COVID-19 boleh berlaku di Malaysia jika rakyat tidak patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Malah katanya, kewujudan kluster baharu diibaratkan seperti bara api yang bila-bila masa sahaja mampu membangkitkan semula gelombang berkenaan kesan ketidakpatuhan orang ramai. 

Justeru katanya, pentingnya langkah pencegahan dilakukan setiap anggota masyarakat sebelum perkara itu  berlaku.  

"Kemungkinan tetap ada (gelombang ketiga) jika tak patuh SOP. Kalau nak cegah, maka  tindakan pencegahan itu penting iaitu sebelum kes naik. Sekarang ini ada kes tambahan dan kluster baharu. Kluster baharu ini bagaikan bahan api. Namun kita sebagai rakyat kalau tak patuh kepada SOP  maka kluster baharu ini ibarat bara yang sedang membakar. 

"Kalau kita tak patuh, maka bahan api ini akan jadi akan buat pembakaran besar. Kalau ada kes 2,000 ke 3,000 sehari, mungkin dalam seminggu hospital kita akan sesak dan mungkin kita tiada kemampuan rawat pesakit," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin. 


Ujarnya, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan rakyat menjalani kehidupan seharian namun perlu mematuhi SOP.

Bagaimanapun, kebimbangan KKM adalah apabila rakyat tidak mematuhi SOP dan tidak mustahil negara akan berdepan gelombang ketiga COVID-19.

"Kalau R naught itu meningkat lebih daripada 1.6, kemungkinan kita akan mendapat peningkatan kes mendadak dan menjadi gelombang ketiga.

"Yang kedua, ada banyak kluster di Sarawak, kita sudah laksanakan tindakan contohnya Kluster Hospital Sentosa, kita telah tutup kemasukan pesakit ke hospital itu dan kita laksanakan saringan di sana," ujarnya.

Justeru, KKM sedang meningkatkan keupayaan dan ketepatan makmal dan intervensi kesihatan awam.

"Setakat ini, semua pendekatan kesihatan awam. Kita belajar dari pengalaman lalu iaitu ketika SARS dan MERS-CoV, kita gunakan pendekatan kesihatan awam. Kita guna pengalaman lepas dalam pengawalan penyakit berjangkit," tambahnya.

Sumber: Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/330vHkW
via Merah Hati Cintaku