Sunday, 19 July 2020

Bayi Baru Lahir Dicampak Dari Tingkat Dua


IPOH: Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada jam 12.35 tengah hari daripada orang awam.

Beliau berkata bayi itu dicampak oleh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak bahagian belakang tingkat atas rumah berkenaan dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.

"Seorang saksi yang juga jiran suspek, mendengar bunyi kuat sesuatu terjatuh di bahagian bumbung rumahnya dan kemudian menemui bayi berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.

Menurutnya, pemeriksaan di bilik suspek yang masih belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah berkenaan dari Batu Caves, Selangor mendapati terdapat kesan tompokan darah pada jeriji tingkap serta cadar biliknya.


A Asmadi berkata bayi malang itu berada dalam keadaan kritikal serta mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

"Suspek dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut...keterangan lanjut masih belum diterima kerana remaja itu dalam keadaan lemah akibat mengalami pendarahan selepas melahirkan bayi berkenaan," katanya.

Tambah beliau, soal siasat ke atas ibu dan dua adik suspek mendapati mereka tidak mengetahui mengenai kehamilannya remaja itu, malah semasa kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melahirkan anak, sebaliknya hanya memberitahu baru saja datang haid.

Beliau berkata saksi-saksi kes berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut. - BERNAMA


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2BdCts9
via IFTTT