Sunday 26 July 2020

24 PATI Rohingya Terjun Laut, Dikhuatiri Lemas Di Langkawi


LANGKAWI: Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya, yang disyaki cuba menceroboh negara ini, dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus di perairan barat Pulau Langkawi malam tadi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata laporan diterima berdasarkan maklumat polis selepas seorang pengadu yang juga migran mendakwa terjun dari sebuah bot bersama 24 mangsa lagi.

"Pengadu yang dikenali sebagai Nor Hossain, 27, mendakwa hanya dia yang terselamat selepas berenang ke daratan. Dia kini dalam tahanan polis untuk membantu siasatan lanjut.

"Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengatur gerak sebuah aset laut bot Pelindung 2 ke lokasi kejadian, sejurus menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut pada 10.30 malam tadi.


"Operasi hari ini membabitkan kapal KM GAGAH dan bot Pelindung 2 serta sebuah helikopter Agusta Westland AW139 membabitkan kawasan pencarian seluas 109 batu nautika persegi di barat perairan Langkawi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis turut menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat lain termasuk komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand melalui Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian mangsa.

"Komuniti maritim boleh melaporkan tentang sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5307," katanya.



from Sehinggit Media https://ift.tt/30Uw6Tw
via Merah Hati Cintaku