Saturday 25 July 2020

SOP PKPP Diketatkan Semula..


KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil susulan kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di negara ini dalam tempoh hampir seminggu ini.

"Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

"Jawatankuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam (Jumaat) melaporkan sebanyak 21 kes jangkitan baharu COVID-19 dalam negara membabitkan 16 kes penularan tempatan dan lima kes import.


Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, SOP untuk Hari Raya Aidiladha yang akan disambut 31 Julai ini juga akan dimuktamadkan dan diumumkan Isnin ini.

Selain itu, susulan beberapa kluster baharu dikesan membabitkan kru kapal, SOP berkaitan kumpulan terbabit turut diteliti.

“Polis akan memantau pematuhan SOP ketika sambutan Aidiladha sama seperti pada Aidilfitri lepas. Jika berlaku pelanggaran SOP, tangkapan dan tindakan dibuat terus di lapangan,” katanya.

Mengenai keperluan melaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD) di Sarawak berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu, jelas beliau, kerajaan negeri akan membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Keputusan (mesyuarat) akan dimaklumkan kepada pihak kerajaan (Persekutuan), (hasil mesyuarat) kita akan wartakan dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Kerajaan Sarawak mungkin akan perkenalkan SOP yang lebih ketat, Insya-Allah akan umum Isnin nanti,” ujarnya.

Sumber: Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/2OXD2tb
via Merah Hati Cintaku