Thursday 23 January 2020

Kematian Meningkat, China Beri Amaran Penularan Virus Korona


BEIJING - China hari ini memberi amaran virus korona baharu seperti SARS yang telah meragut sembilan nyawa dan menjangkiti ratusan individu serta kini merebak ke negara lain mungkin boleh mengalami mutasi.

Timbalan Menteri Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Li Bin berkata, keadaan itu berkemungkinan berlaku kerana virus tersebut disebarkan melalui saluran pernafasan.

Sehingga kini, pihak berkuasa kesihatan masih belum dapat mengenal pasti sumber sebenar virus yang menyebabkan radang paru-paru dan telah menjangkiti 440 individu di 13 wilayah dan majlis perbandaran.

"Kami akan meningkatkan usaha penyelidikan untuk mengenal pasti sumber dan penyebaran penyakit tersebut," ujar Bin.


Kebimbangan semakin meningkat selepas pakar terkenal daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengesahkan virus terbabit boleh disebarkan antara manusia.

Bagaimanapun, penyelidik tidak menolak kemungkinan haiwan sebagai sumber utama virus terbabit memandangkan Pasar Borong Makanan Laut Huanan di Wuhan menjadi lokasi pertama dikenal pasti untuk penyebaran wabak tersebut.

Ketika ini, kebanyakan negara sedang mempertingkatkan usaha untuk membendung penularan virus korona (2019-nCoV) tersebut selepas ia kini merebak di beberapa negara Asia.

Semalam, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kes pertama virus baharu tersebut membabitkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang tinggal berhampiran Seattle di Washington.

Difahamkan, dia kini dimasukkan ke hospital untuk terus dipantau sebagai langkah berjaga-jaga.

Sumber: Sinar harian


from Sehinggit Media News https://ift.tt/38BDqFt
via IFTTT