Thursday 30 January 2020

Pertubuhan Kesihatan Sedunia Isytihar Darurat Bagi Wabak Koronavirus


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak koronavirus baharu sebagai ‘darurat kesihatan global’, selepas Jawatankuasa darurat bermesyuarat pada Khamis di Geneva.

Minggu lalu, WHO menyatakan bahawa virus tersebut belum lagi sampai ke tahap yang memerlukan pengisytiharan darurat. Tetapi dengan jumlah kes yang semakin meningkat serta bukti jangkitan dari manusia ke manusia betul-betul berlaku, kepimpinan WHO terpaksa memanggil semula semua jawatankuasa untuk bermesyuarat berkenaan dengan kebimbangan tentang penularan wabak yang semakin teruk.

“Sebab utama pengisytiharan ini dibuat bukan kerana apa yang sedang berlaku di China, tetapi kerana apa yang sedang berlaku di negara-negara lain,” ujar Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Khamis.

“Kebimbangan kami yang paling utama adalah potensi virus itu tersebar di negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah serta tidak bersedia untuk menanganinya.”


WHO menjelaskan bahawa darurat kesihatan global sebagai “peristiwa yang luar biasa” dan dibuat kerana mengandungi perkara yang boleh menjejaskan “risiko kesihatan awam kepada negara-negara lain melalui penyebaran penyakit” dan “berpotensi memerlukan tindak balas antarabangsa yang selaras.” Antara kes pengisytiharan darurat yang pernah dilakukan sebelum ini adalah melibatkan penyakit Ebola, Zika dan H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Dr Didier Houssin Berkata hampir semua kepimpinan WHO bersetuju mengisytiharkan darurat ketika jawatankuasa menyarankan usul itu.

Houssin turut menyatakan bahawa dengan mengisytiharkan darurat terhadap wabak novel koronavirus ini, ianya akan membolehkan WHO untuk menyelaraskan tindak balas di peringkat antarabangsa serta mengarahkan negara untuk mengikuti standard piawaian yang telah ditetapkan WHO.

Ghebreyesus memuji China atas tindakan yang diambil untuk membendung virus ini daripada menular dengan lebih meluas lagi.

“Angka jangkitan serta kematian di luar China pasti akan lebih teruk lagi jika kerajaan China tidak mengambil langkah yang sepatutnya ini,” ujarnya.

“Biar saya berterus terang: Pengisytiharan ini dibuat bukan undi tidak percaya kepada China, sebaliknya WHO terus yakin dengan kemampuan China untuk mengawal wabak ini,” tambahnya.

Sumber: CNN via Siakapkeli.my


from Sehinggit Media News https://ift.tt/31kNKj7
via IFTTT