Monday, 7 October 2019

Subsidi Petrol Setiap Bulan Untuk Penerima BSH. RM30 Kereta, RM12 Motosikal


Kerajaan akan memperkenalkan mekanisme subsidi petrol baru yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2.86 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta golongan orang kurang upaya (OKU) di Semenanjung Malaysia.

Bakal dilaksanakan mulai 1 Jan tahun depan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution Ismail, berkata dengan adanya subsidi yang baru itu juga, harga petrol RON95 akan diapungkan mengikut harga minyak mentah dunia.

Katanya, untuk pemilik kereta, subsidi yang diberikan ialah RM30 sebulan, manakala motosikal RM12 sebulan.

Menurut Saifuddin bantuan tersebut akan dimasukkan ke akaun penerima sekali bagi setiap tempoh empat bulan.

"Program ini adalah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban kumpulan isi rumah yang memerlukan (dan dibuat) melalui pengagihan semula subsidi petrol selari dengan janji ketujuh Manifesto PH," katanya di Putrajaya hari ini.

Menurut Saifuddin melalui kaedah baru itu kerajaan berharap subsidi tersebut dapat menampung sebahagian daripada kos petrol RON95 untuk rakyat berpendapatan rendah.

Menjelaskan lebih lanjut subsidi tersebut, anggota parlimen Kulim - Bandar Baru itu berkata, penerima BSH yang memiliki kenderaan 1,600cc ke bawah atau motosikal 150cc ke bawah layak menerimanya.


Harga petrol tetap di Sabah, Sarawak

Kata Saifuddin, prinsip bantuan yang hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula yang saksama (equitable redistribution) melalui dasar berasaskan data diperolehi daripada pangkalan data BSH serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bagi pemilik kereta melebihi 1,600cc atau motosikal lebih 150cc juga boleh mendapat subsidi tersebut, dengan syarat kenderaan itu masing-masing berusia sekurang-kurangnya 10 tahun dan tujuh tahun.

Untuk golongan OKU pula, kata Saifuddin, mereka boleh mendapat subsidi berkenaan untuk kenderaan masing-masing.

Katanya, penerima BSH yang memiliki lebih daripada satu kenderaan, mereka hanya layak mendapat satu subsidi saja.

"Antara kereta atau motosikal, kita bayar subsidi yang lebih tinggi," katanya.

Beliau juga mengingatkan hanya kenderaan yang memiliki cukai jalan yang sah layak menerima subsidi tersebut.

Sementara itu, Saifuddin berkata subsidi yang diperkenalkan itu hanya untuk penerima BSH di Semanjung Malaysia sahaja.

Bagi golongan berpendapatan rendah di Sabah, Sarawak dan Labuan, katanya, subsidi itu tidak diberikan kerana harga RON95 akan dikekalkan pada RM2.08 seliter.

Saifuddin juga menjelaskan, berdasarkan maklumat yang ada, penetapan harga RON95 sebelum ini turut dinikmati golongan kaya.

Mahu luaskan pada masa depan

Katanya daripada 1.2 bilion liter petrol yang digunakan setiap bulan di Semanjung Malaysia, hanya 10 peratus menggunakan RON97, manakala selebihnya memilih RON95.

"Maknanya, pemilik kenderaan mewah seperti Range Rover turut menerima manfaat daripada subsidi RON95.

"Justeru melalui subsidi petrol bersasar yang baru ini, hanya golongan yang berkeperluan sahaja mendapat manfaat," katanya.

Mengenai pengapungan harga RON95, Saifuddin berkata kaedah terperinci akan diumumkan selepas ia dibincangkan di peringkat kabinet.

Beliau juga memberitahu pemberian subsidi akan dihentikan sekiranya harga RON95 turun kepada RM2 seliter.

Saifuddin juga menjelaskan maklumat lanjut mengenai Program Subsidi Petrol di laman pautan: psp.kpdnhep.gov.my dan semakan boleh dibuat mulai 15 Okt ini.

"Ini merupakan kali pertama kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar.

"Saya berminat sangat memperluaskan program subsidi ini kepada golongan M40 pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Malaysiakini.com


from Sehinggit Media News https://ift.tt/31VX1gP
via IFTTT