Sunday 4 February 2018

12 Maut Makan Daging Lembu Dipatuk Ular Tedung Selar


Seramai 12 orang disahkan maut manakala berpuluh-puluh yang lain dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan selepas memakan daging seekor lembu yang mati akibat dipatuk ular tedung selar, kata pihak berkuasa kesihatan semalam.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada tujuh dewasa dan lima kanak-kanak.

Pada Khamis lalu, portal Mail Online melaporkan 60 orang penduduk Kampung Mpoza, berhampiran bandar Tsolo, dekat sini terpaksa dikejarkan ke beberapa hospital selepas mengalami cirit-birit, muntah-muntah, sakit kepala dan kejang perut dipercayai akibat bisa ular yang meresap dalam daging lembu tersebut.

Daripada jumlah itu, seramai 16 orang kanak-kanak dihantar ke hospital, lapan daripadanya dipindahkan ke wad pediatrik Akademi Hospital Nelson Mandela manakala selebihnya dibawa ke Hospital Negeri Mthatha.

Jurucakap Jabatan Kesihatan Cape Timur, Afrika Selatan, Sizwe Kupelo berkata, memandangkan jumlah kematian agak besar, pihaknya telah memilih untuk mengasingkan pesakit dan memantau keadaan mereka.

“Hospital St. Barnabas di Libode telah bersedia menerima pesakit tambahan bagi kes ini. Orang ramai digesa tidak memakan bangkai lembu yang mati akibat dipatuk ular kerana ia hanya mengundang padah jika kamu berbuat demikian,” katanya.

Ular tedung selar merupakan reptilia jenis Elapidae iaitu dari keluarga ular berbisa yang terdapat di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia.

Racun haiwan itu mengandungi neurotoksin possinaptik yang merebak dengan cepat dalam aliran darah mangsa, menyebabkan kegagalan pernafasan dan diakhiri kematian. – Agensi


from Sehinggit Media http://ift.tt/2nKY1RU
via Merah Hati Cintaku