Thursday, 23 November 2017

2 Kanak-kanak Diumpan Dengan Rm2 Dan Coklat Sebelum Dirogol Jiran Durjana


Dua kanak-kanak berusia lima dan lapan tahun menjadi mangsa rogol jiran dalam dua kejadian berasingan di Batu 11, Jalan Gambar, Kuantan, 6 November lalu, lapor Harian Metro

Difahamkan, suspek berusia 25 tahun mengumpan kedua-dua mangsa dengan wang RM2 dan coklat sebelum memujuk mangsa membonceng motosikalnya, kononnya mahu membawa mangsa bersiar-siar. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang berusia lapan tahun dibawa ke kawasan tangki air di Taman Mahkota Aman pada waktu petang dan dirogol suspek. 

Mangsa kedua berusia lima tahun pula diumpan menggunakan kaedah yang sama dan dibawa ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran taman berkenaan. 


"Suspek yang masih bujang merogol mangsa di kawasan berkenaan sebelum menghantarnya pulang ke rumah dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. 

"Bagaimanapun perlakuan suspek terbongkar selepas kedua-dua mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu bapa masing-masing," katanya. 

Ibu bapa kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading pada hari yang sama. 

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan kemudian menyerbu rumah dan menahan suspek pada jam 10.30 malam. 

"Ketika serbuan, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori baru saja tiba di rumahnya selepas selesai menghantar barang dan terkejut dan tidak sempat melarikan diri. 

"Berdasarkan semakan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian saringan air kencingnya adalah negatif," katanya. 

Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa mengenali suspek dan lelaki berkenaan tinggal bersama ibu bapa serta dua adiknya. 

Suspek kini direman sehingga 28 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sumber: The Reporter


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2iL0uud
via IFTTT