“Asap penuh dalam bas, tetapi pemandu enggan berhenti menyebabkan ada rakan saya nekad terjun dari bas sedang bergerak,” kata warga Indonesia, Fibar Ais, 19, yang selamat dalam kemalangan dua bas kilang mengorbankan lapan pekerja di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Juru, Bukit Mertajam, pagi ini.
Gadis dari Medan, Indonesia itu berkata, enjin bas berkenaan mungkin rosak sehingga asap masuk ke dalam bas menyebabkan dia dan rakannya menjadi cemas, tambahan pula lampu dalam bas tidak dipasang.
Katanya, dalam keadaan panik itu, mereka menjerit kepada pemandu bas supaya memberhentikan kenderaan itu, tetapi pemandu terbabit tindak mengendahkan jeritan mereka, malah memecut bas dengan laju.
“Semua panik kerana keadaan dalam bas gelap dan bau asap kuat, tetapi pemandu bas pula tidak mengendahkan kami. Kami bimbang bas terbakar menyebabkan rakan saya nekad terjun dari bas yang masih bergerak dari pintu bas yang terbuka.
“Berikutan itu, pemandu bas memberhentikan bas secara mengejut dan saya cuba turun dari bas, tetapi terjatuh ke atas jalan akibat ditolak dari belakang oleh rakan lain hingga cedera di kaki dan tangan.
“Tidak lama kemudian, bas kami dirempuh dari belakang oleh bas kilang lain menyebabkan tujuh rakan saya meninggal dunia manakala ramai lagi cedera,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.
Sementara itu, suri rumah, Sri Wahyuni, 42, berkata adiknya, Sahfitri, 19, turut menaiki bas sama serta bekerja sebagai operator di Kilang Sony di Bayan Lepas sejak enam bulan lalu.
“Adik saya beritahu bas rosak sehingga asap masuk dalam bas dan pekerja menjerit, tetapi pemandu bas tidak berhenti menyebabkan ada yang melompat keluar dari bas.
“Berikutan itu, bas berhenti secara tiba-tiba di lorong kanan dan selepas itu dirempuh bas lain dari belakang.
“Pekerja kilang selalu mengadu mengenai pemandu bas yang suka memandu laju,” katanya.
Sri Wahyuni berkata, semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera itu berasal dari Medan dan rapat dengannya serta memanggilnya kakak memandangkan dia sudah 14 tahun tinggal di negeri ini.
Menurutnya, mereka tinggal di Taman Tangling Jaya, Simpang Ampat dan memang rapat memandangkan berasal dari daerah sama di Medan.
Sumber: HMetro
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2gGNUyj
via IFTTT