Selama lebih 6 tahun mencari dengan penuh cermat dan teliti, pencarian seorang ayah akhirnya berakhir apabila dia menjumpai cebisan tulang anak perempuannya yang hilang semasa tsunami membadai bumi Fukushima pada Mac 2011.
Semasa kejadian anaknya Yuna, berusia 7 tahun.
Namun penemuan itu bukanlah satu titik noktah buat si ayah, Norio Kimura, kerana dia masih bertekad mahu menyelak setiap serpihan dan menguis setiap debuan di kawasan pantai Fukushima, sebuah bandar loji kuasa nuklear nombor 1 yang telah hancur binasa.
“Saya gembira tetapi hanya sebahagian kecil yang ditemui,” kata Kimura, 51, merujuk kepada cebisan yang dijumpai. “Saya akan meneruskan pencarian sehingga saya menemui semua serpihan tulang.”
Harapan untuk menemui serpihan tulang anaknya Yuna mula bersinar apabila sebuah petunjuk hadir pada 9 Disember 2016. Seorang ahli sukarelawan menjumpai sehelai skarf yang dipakai Yuna pada hari kejadian.
Skarf itu dijumpai berhampiran pantai dan hanya beberapa ratus meter dari rumah kediaman keluarga Kimura di Okuma suatu waktu dahulu. Penemuan skarf itu membawa kepada penemuan tulang belulang bahagian leher dan tulang rahang yang terdedah bersama timbunan serpihan akibat tsunami.
Ujian DNA kemudiannya dijalankan oleh polis wilayah Fukushima dan jelas mengesahkan bahawa saki baki tulang tersebut milik Yuna.
Sebaik menerima khabar gembira itu pada 22 Disember 2016, Norio memberitahu yang dia masih belum berniat untuk memfailkan kematian anak kesayangannya itu secara rasmi sehinggalah keseluruhan anggota badannya dijumpai.
Walaupun begitu, dia sedikit lega dan menganggap penemuan cebisan anggota badan Yuna sebagai hadiah hari Krismas yang sungguh berharga. Yuna merupakan satu-satunya penduduk Okuma yang masih disenaraikan sebagai hilang.
Rumah keluarga Kimura terletak kira-kira 4 kilomenter ke selatan bandar Fukushima dan hanya 100 meter dari pantai.
Gempa bumi tujahan mega di bahagian Jepun timur yang melanda pada 11 Mac 2011 telah meletuskan gelombang tsunami yang meranapkan rumah keluarga Kimura dan menghanyutkan Yuna, isteri Kimura, Miyuki, 37, dan bapanya, Wataro, 77.
Jasad Miyuki dan Wataro telah dijumpai pada tahun yang sama tetapi kehilangan Yuna langsung tidak memberikan sebarang petunjuk.
Tsunami juga telah meleburkan 3 teras reaktor di kompleks loji nuklear sekaligus memaksa kerajaan mengambil langkah mengosongkan kawasan untuk mengelakkan penduduk terdedah kepada bahan radioaktif yang dilepaskan. Kimura juga terpaksa berpindah dan menghentikan proses pencarian Yuna untuk seketika.
Walaupun anggota angkatan tentera, bomba, polis dan sukarelawan masih meneruskan pencarian sepanjang pantai di wilayah Tohoku, pelepasan bahan radioaktif menghalang daripada pemeriksaan secara meluas dijalankan sekitar Okuma terutamanya dalam beberapa hari pertama selepas kejadian kerana usaha pemulihan sedang dijalankan.
Sebahagian besar bandar terletak di dalam lingkungan ‘zon sukar pulang’ yang diisytiharkan kerajaan kerana tahap sinaran (‘radiation’) yang tinggi. Pelepasan masuk dihadkan hanya kepada bekas penghuni kediaman, itupun untuk tempoh masa yang sangat singkat.
Kimura sendiri hanya mula mencari Yuna pada akhir 2011 sebaik sahaja kerajaan membenarkan bekas penghuni kembali ke Okuma.
Dia yang kini tinggal di Hakuba di Wilayah Nagano bersama ibu dan seorang lagi anaknya yang terselamat, memandu berulang alik sejauh 1,000 kilometer hanya untuk mencari Yuna. Dalam ikhtiarnya mencari cebisan mayat anaknya, dia tidak lupa memakai pakaian pelindung supaya tidak terdedah kepada kesan sinaran.
Cebisan anggota badan Yuna ditemui berdekatan dengan tempat Kimura terjumpa sebelah kasut Yuna sekitar Jun 2012. Kasut tersebut dipakai anaknya pada hari bencana berlaku.
Kimura bercadang untuk datang ke Okuma dengan lebih kerap dan menumpukan pencarian di kawasan tulang belulang Yuna dijumpai.
“Saya sememangnya marah dengan TEPCO (Tokyo Electric Power Company) yang menyebabkan krisis nuklear berlaku, dan saya juga berang dengan kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh dalam usaha menjejaki jasad yang hilang,” ujar Kimura.
“Saya berasa malu kerana mengambil masa hampir 6 tahun untuk menjumpai anak perempuan saya.”
Sumber: ERA BARU
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2zZ3lqa
via IFTTT