Monday, 28 August 2017

“Kami Tunggu Tapi Cikgu Tak Kunjung Tiba Sebelum Kami Dapat Whatsapp Rupa2nya….”


Sekumpulan pelajar tingkatan 5 yang menanti cikgu di sekolah untuk kelas tambahan risau apabila cikgu yang dinanti tidak sampai-sampai sehingga dapat whatsapp rupa-rupanya cikgu mereka telah…. Baca selanjutnya di bawah.

CIKGU YANG DINANTI TIDAK KUNJUNG TIBA

“Kami tunggu cikgu untuk mengajar kelas tambahan, tetapi dia tak kunjung tiba. Rupa-rupanya cikgu terkorban dalam kemalangan,” kata calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Awang Jabar, Jambu Bongkok, di sini, Muhammad Abdin Syakirin Ahmad Yusop, 17, selepas gurunya, Zaimah Abdul Rahman, 54, maut dalam kemalangan pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi di Kilometer 42, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pasir Putih, di sini, Zaimah memandu Perodua Viva ke SMK Datuk Awang Jabar untuk mengadakan kelas tambahan bagi persediaan pelajarnya menduduki SPM tidak lama lagi.
KERETA-KERETA TERBABIT REMUK

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Zaiman bertembung dengan sebuah PROTON Saga BLM dari arah Dungun ke Kuala Terengganu yang terbabas ke laluan bertentangan, menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk.

Kejadian tragis itu turut meragut nyawa dua beradik tiri, Penyelia Asrama SMK Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Dungun, Rohimah Baru, 54, dan Pembantu Tadbir SMK Imtiaz Dungun, Kamariah Draman, 44, yang menaiki PROTON Saga BLM.


Muhammad Abdin Syakirin berkata, gurunya itu yang mengajar Bahasa Melayu dan tinggal di Kuaters Penjara Marang sepatutnya memulakan kelas tambahan pada jam 8 pagi.

“Kelas kami sepatutnya bermula jam 8 pagi, namun cikgu masih tidak sampai sehingga jam 8.30 pagi.

“Kami menyangka cikgu ada urusan lain atau perkara lebih penting menyebabkan kelas kami mungkin dibatalkan,” katanya.

TERIMA BERITA DARI WHATSAPP

Bagaimanapun, katanya, dia kemudian menerima mesej di WhatsApp berhubung kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva sebelum terkejut mendapati kereta itu milik gurunya.

“Saya dan beberapa pelajar lain yang terkejut bergegas ke tempat kejadian. Kami sedih apabila dimaklumkan cikgu sudah meninggal dunia, dia guru yang sangat baik dan mesra dengan pelajarnya,” katanya.

Sementara itu, suami Zaimah, Samsudin Awang Kechik, 53, berkata, beliau tidak menyangka isterinya meninggal dunia sebelum sempat mereka mengerjakan umrah bersama-sama di Makkah akhir tahun ini.

“Pagi tadi (semalam) isteri meminta izin keluar lebih awal kira-kira jam 7 pagi ke sekolah untuk ke kelas tambahan.

“Saya berpesan supaya memandu berhati-hati kerana hujan lebat. Tidak sangka itu kali terakhir kami berbual dan bersalaman,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Sumber: BH Online via http://ift.tt/2tdt9ix


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2wke4Kv
via IFTTT