Tuesday, 29 August 2017

Cinta 12 Tahun Buat Wanita Tekad Peluk Islam Dan Kahwini Lelaki Hidap Kanser Tahap Empat….


Perkenalan selama 12 tahun membuatkan seorang wanita sanggup memeluk Islam dan menjadi isteri kepada pasangannya meskipun disahkan menghidap kanser.

Adrianna Law Abdullah, 31, memeluk Islam Oktober tahun lalu dan kini sah menjadi isteri kepada Alfian Rizal, 31, selepas dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Majlis Agama Islam Melaka, Mohd Shokri Mustaffa, semalam.


Alfian yang berasal dari Melaka disahkan menghidap kanser usus besar dan hati tahap empat sejak Mac lalu dan kini sudah tidak berupaya untuk berdiri mahupun berjalan.

Meskipun begitu, menurut Adrianna, dia benar-benar ikhlas menerima ketentuan jodoh dengan suaminya itu meskipun dalam keadaan tersebut. Malah, Alfian sendiri tidak pernah memaksanya memeluk Islam.

“Selama berkenalan, dia tak pernah mempersoalkan kenapa saya tak nak peluk Islam awal-awal. Dia memberi masa untuk saya kenal Islam dan dapat hidayah.”

“Dia banyak mendidik saya sehingga perasaan cinta itu datang sendiri. Kemudian barulah saya masuk Islam.”

“Keikhlasan dirinya membuatkan saya tertarik sehinggalah membimbing saya mendapat hidayah memeluk Islam tahun lalu. Saya yakin dialah jodoh terbaik buat saya.”


Mereka mula mengenali hati budi masing-masing dan menjalin cinta ketika sama-sama menuntut di Universiti Multimedia (MMU) Melaka. Menurut wanita kelahiran Sarawak itu, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan pada peringkat awal.

“Semuanya berlaku begitu pantas. Pada 2015, Alfian sering mengadu keletihan sebelum dimasukkan ke sebuah hospital swasta selama 10 hari kerana kehilangan darah. Tetapi doktor tidak mengetahui puncanya.”

Setahun kemudian, Alfian sekali lagi dimasukkan ke hospital namun doktor masih tetap tidak mengetahui gejala penyakitnya. Sehinggalah dia mengalami gejala jaundis (kegagalan fungsi hati) pada awal tahun ini dan dirujuk ke Hospital Selayang sebelum disahkan menghidap kanser tahap empat.'


Alfian yang juga seorang anak tunggal akui pengorbanan cinta isterinya menjadi kekuatan sebenar untuknya meneruskan kehidupan.

“Dalam keadaan diri saya diuji sebegini, Andrea tetap berada di samping saya waktu susah dan senang. Itulah yang membuatkan saya terharu kerana dia menerima saya seadanya.”

“Alhamdulillah, doa saya untuk mengahwininya dimakbulkan Allah SWT.”

Pasangan itu dilaporkan akan berlepas ke Guangzhou, China tidak lama lagi untuk Alfian menjalani rawatan kimoterapi sepenuhnya di sana.

Semoga semuanya berjalan lancar dan semoga keadaan Alfian bertambah baik. InsyaAllah.

Sumber: Lobakmerah


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2vqj7Md
via IFTTT