Friday, 25 August 2017

Arahan Pertukaran Tidak Adil. Cikgu Saman Guru Besar RM500,000


SHAH ALAM - Seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah di Puchong bertindak memfailkan saman terhadap guru besar dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana berikutan tidak bersetuju dengan arahan pertukaran yang didakwa tidak adil serta berunsur peribadi.

Writ saman difailkannya melalui peguam, Dalina Hanim Daim, kelmarin di mahkamah dengan jumlah kos dan ganti rugi sebanyak RM500,000.

Guru berusia 30an itu mendakwa, tempoh pertukarannya itu berlaku dalam waktu singkat selepas mempertikaikan surat berkaitan kehadiran lewat, Jun lalu.

“Saya ke PPD untuk bertemu pegawai terlibat selepas guru besar gagal beri alasan kukuh tapi saya dinasihatkan untuk lapor diri saja seperti diminta. Mereka cuma bagi alasan, saya merupakan guru Bahasa Inggeris paling senior dan guru bagi subjek itu sudah berlebihan.

“Bagaimana alasan itu dibuat, sedangkan saya baru empat tahun berkhidmat, malah ada lagi guru lain berbelas tahun berkhidmat di sekolah sama? Alasan diberi memang tak masuk akal,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Dalina Hanim berkata, pihaknya mengeluarkan saman tersebut berikutan notis tunjuk sebab yang diserahkan sebelum ini tidak diendahkan.

“Tindakan ini bukan hanya dibuat ke atas individu terlibat saja dan tidak membabitkan agensi atau kerajaan bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa individu terlibat.

“Kami cuba dapatkan penjelasan dengan cara baik tapi pihak berkaitan seolah-olah cuba mengelakkan diri. Apa yang diperlukan cuma penjelasan secara adil dan keputusan dibuat ke atas anak guam saya perlu melalui siasatan terperinci,” katanya. - Sinar Harian


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2vbugk0
via IFTTT