Saya dan suami sudah 7 tahun berkahwin. Kami bahagia, dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 6 dan 4 tahun. Sepanjang tempoh perkahwinan, suami baik sangat dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab zahir dan batin. Alhamdulillah. Anak-anak juga manja dengan bapa mereka.
Tiga bulan yang lalu, saya menerima mesej di WhatsApp dari seorang wanita yang saya namakan sebagai Z. Dia mengaku bahawa dia adalah kekasih suami saya.
Pada mulanya, saya ragu-ragu kerana saya tak perasan langsung perubahan pada suami. Dia pergi kerja pagi, balik petang seperti biasa. Bila hujung minggu, dia lepak di rumah saja dengan anak-anak. Tak mahu berfikiran negatif, saya bertanya tentang perkara itu pada suami dan suami mengaku Z adalah kekasihnya.
Hancur hati ini mendengar pengakuan suami, saya menangis tanpa suara. Allahu, sakitnya rasa dikhianati. Suami beria-ria memujuk dan menjelaskan wanita itu adalah rakan sekerjanya. Mereka mula rapat semenjak tiga tahun lalu dan hanya berhubung melalui telefon. Adakalanya mereka keluar makan tengah hari bersama-sama.
Saya mengaku yang saya bukan jenis memeriksa telefon bimbit suami. Suami kata, dia memang cuba berterus terang dari awal, namun keadaan selalu tidak mengizinkan. Malam itu, saya menangis semahu-mahunya. Saya memohon pada Allah agar berikan saya kekuatan jiwa dan raga.
Selepas dari hari itu, saya mengumpul seluruh kekuatan untuk duduk semeja dengan suami dan kekasihnya. Suami mengaku sayangkan saya dan Z pada masa yang sama. Malah meminta izin untuk berkahwin dan berjanji akan berlaku adil.
Dari segi luaran, Z nampak sopan, bertudung tutup dada, berstokin dan tutur katanya lembut. Berkali-kali dia memohon maaf kerana mengguriskan hati saya dan menjelaskan dia tiada niat untuk menghancurkan rumah tangga saya, tetapi sekadar menumpang kasih.
Saya tidak tahu dari mana datangnya ketabahan saya semasa suami dan Z bercerita tentang awal perkenalan mereka dan bagaimana terbitnya rasa cinta. Allah beri saya kekuatan, saya hanya senyum. Hati saya? Saya tak tahu, kosong.
Menurut Z, dia terpikat dengan suami saya kerana sikap suami yang baik dan mengutamakan keluarga. Malah dia langsung tidak malu mengakui bahawa dialah yang mula mendekati suami. Nekad betul ye? Saya suka sikapnya yang berterus terang itu walaupun hanya mengambil masa tiga tahun. Namun agak terkilan sedikit kerana dalam masa tiga tahun itu saya dibiarkan syok sendiri dan yakin hati suami hanya untuk saya. Namun Allah Maha Kuasa.
Setelah mendengar penjelasan mereka, maka saya beri keizinan tetapi dengan syarat, suami perlu melepaskan saya. Suami tidak setuju dan meminta saya menerima Z sebagai madu. Z pula menangis memohon agar saya tidak merumitkan lagi keadaan.
Sungguh itu bukan niat saya. Saya sudah penat berfikir, saya tidak memberikan suami pilihan sama ada mahu memilih saya atau kekasihnya kerana bagi saya, selepas terjalinnya hubungan cinta antara mereka, maka saya sudah dijadikan sebagai pilihan kedua.
Perbincangan hari itu tidak berakhir dengan baik. Saya tetap dengan keputusan saya meminta untuk dilepaskan. Selepas pertemuan itu juga, suami berkali-kali merayu agar saya menerima perkahwinan itu. Malah dia melabelkan keengganan saya sebagai ego dan tamak. Ego ke saya? Tamak ke saya? Sepanjang perkahwinan saya cuba menjadi isteri terbaik. Saya jalankan tanggungjawab dan hanya cintakan suami saya sepenuh hati. Rasanya saya berhak untuk mendapat sepenuh cinta juga.
Tolonglah, tidak mudah bagi saya. Saya tidak mampu. Saya percaya satu hati untuk satu nama. Saya percaya hati itu milik Allah, Allah juga yang mengubah hatinya untuk wanita itu. Saya tidak menolak poligami itu sunnah Rasul tetapi saya juga manusia biasa. Saya tidak yakin saya akan ikhlas, maka lebih baik berundur lebih awal.
Saya meminta untuk dilepaskan bukan kerana tak sayang, tetapi kerana suami tidak jujur. Walaupun suami tiada niat untuk berkahwin dengan wanita itu, saya akan tetap meminta untuk dilepaskan. Saya tidak boleh menerima kecurangan ini. Sungguh sakit untuk ditelan, perit. Tak apalah, semoga semuanya selamat.
Dengan anak-anak juga saya telah jelaskan yang ibu dan ayah dah tak boleh duduk bersama-sama. Nanti mereka akan ada ibu yang baru dan perlu hormat serta sayang dia seperti mana mereka hormat dan sayang saya. Alhamdulillah, anak sulung faham, tetapi yang bongsu ini belum mengerti sepenuhnya. Maklumlah baru berusia 4 tahun. Syukur saya dikurniakan anak-anak yang kuat seperti ibunya.
Khamis depan, saya akan dilepaskan. Wallahi, saya redha, rela dan pasrah.
Kepada suami, semoga bahagia selamanya. Jagalah keluarga baru awak elok-elok. Terima kasih sebab jaga saya selama ini. Saya harap bakal isteri awak dapat menjaga Along dan baby seperti anak sendiri. Saya tak menyimpan dendam, saya okey. Awak tahu saya kuat kan? Terima kasih sekali lagi. - KRT
Sumber: The Reporter
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2hIUT7y
via IFTTT