Ahli keluarga Abdul Aziz Aznam, 20, anggota tentera yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor semalam, mahu siasatan kejadian itu dijalankan dengan adil.
Abang mangsa, Mohamad Amirulnaim Aznam, 23, berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis sepenuhnya, namun meletakkan harapan tinggi agar kematian adiknya itu terbela.
"Harap pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat siasat dengan betul dan telus mengikut undang-undang, biarlah ada keadilan dalam siasatan itu nanti.
"Buat masa ini, tiada apa yang boleh kami lakukan kerana tidak tahu kedudukan sebenar kejadian, jadi kami serahkan sepenuhnya kepada polis dan tentera untuk menyiasat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini hari ini.
Mohamad Amirulnaim berkata, sebelum ini, arwah pernah menyatakan hasrat berhenti daripada berkhidmat dalam pasukan tentera kerana tidak tahan kena 'ragging'.
Bagaimanapun katanya, mereka menganggap ia bukan satu masalah yang serius dan menasihati arwah untuk terus bertahan.
"Saya perasan sejak Disember tahun lepas, dia selalu cakap tak tahan duduk sana, hari-hari kena, tapi kami anggap itu perkara biasa, sehinggalah arwah ambil keputusan untuk pulang ke rumah dan duduk di sini selama lebih enam bulan.
"Sepanjang tempoh dia di rumah, dia nampak betul-betul ceria, tolong mak dan adik beradik lain buat kerja, jadi bila dia beritahu sekali lagi yang dia nak berhenti, kami tak sampai hati dan bersetuju dengan keputusannya itu," katanya.
Dia berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang ke kem pada 28 Ogos lalu untuk melapor diri dan dengan harapan dapat menguruskan proses tamat perkhidmatan.
"Saya dan mak yang hantar dia sampai ke pintu kem, bila semuanya selesai kami pun pulang, tapi tak sampai 24 jam, keesokan pagi sekitar jam 3 pagi saya dapat panggilan yang adik jatuh dari tingkat tiga bangunan.
"Saya dan mak menyusul ke hospital dan ketika itu keadaan adik sungguh menyayat hati, dia dah tak sedarkan diri," katanya.
Beliau berkata, Allahyarham mula menjalani latihan pada 2018 lalu dan memang bercita-cita untuk menjadi anggota tentera kerana mahu mengikut jejak arwah bapa mereka, Aznam Ariffin yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Menurutnya, sebelum kembali ke kem, arwah menyimpan motosikal kesayangannya di dalam bilik, seolah-olah petanda dia tidak akan pulang lagi.
"Kami reda dengan kejadian ini, namun sedikit terkilan kerana kami hantar dia dalam keadaan yang sihat, tetapi pulang dengan keadaan begini pula," katanya.
Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, malam ini selepas urusan bedah siasat selesai di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor.
Allahyarham Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang semalam selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Anggota tentera itu dipercayai bertindak terjun dari bangunan berkenaan akibat tidak tahan menjadi mangsa buli di kem terbabit.
Menurut perkongsian laman sosial Facebook milik Adin Rashid, Abdul Aziz dilaporkan tidak hadir bertugas sejak enam bulan lalu sebelum diarahkan lapor diri ke kem tersebut pada 28 Ogos lalu.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Muhammad Izzudin Rungai dilapor berkata, siasatan pihak polis masih diteruskan dari semua aspek untuk mengenal pasti punca mangsa mengambil tindakan sedemikian
Sumber: Sinar harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/32Z8az2
via Merah Hati Cintaku