KUANTAN - Pengusaha tanaman musang king di Raub di sini akan mengadakan rundingan dengan pihak kerajaan negeri Pahang bagi mempertahankan kebun durian yang diusahakan mereka lebih 40 tahun lalu.
Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Chang Yee Chin berkata, rundingan tersebut adalah bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat keputusan secara 'menang-menang' dalam isu penerokaan tanah di beberapa kawasan di daerah.
"Esok (hari ini) kita akan berunding kali pertama dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Raub. Lebih 1,000 pekebun masih berminat menguruskan kebun durian yang mereka tanam.
"Jadi, selagi ada ruang dan peluang, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk mendapat keputusan 'menang-menang'," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan negeri Pahang bertindak tegas terhadap pekebun durian di Raub yang mengusahakan tanaman buah itu secara haram di atas tanah kerajaan serta kawasan hutan simpan.
Tindakan tersebut dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.
Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terlibat ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.
Yee Ching yang mewakili kesemua pekebun durian di daerah itu berkata, pihaknya tidak mempunyai niat untuk menebang pokok buah-buahan mereka sebagai tanda protes memandangkan pintu rundingan dan perbincangan dengan kerajaan Pahang masih terbuka.
'Kita masih berminat untuk urus kebun durian ini dan kita boleh bayar cukai tanah serta sewa kepada Kerajaan Pahang seperti mana disyaratkan," katanya.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/31MyOMm
via Merah Hati Cintaku