TIGA kanak-kanak dan seorang remaja maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Bettington Road, Oatlands, Sydney pada malam Sabtu.
Dalam insiden tersebut, mangsa tiga beradik yang dikenali sebagai Anthony, 13, Angelina, 12, Sienna, 9 dan seorang lagi kanak-kanak perempuan yang juga sepupu mereka meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara tiga mangsa lain yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jurucakap polis berkata ketika kejadian, mangsa berada di laluan pejalan kaki untuk membeli aiskrim sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu suspek.
Bapa mangsa, Daniel Abdallah berkata dia terkejut selepas menerima berita kemalangan yang meragut nyawa tiga anak perempuannya.
“Saya kehilangan tiga anak disebabkan kemalangan itu. Sepupu saya, Bridget juga kehilangan anak perempuannya.
“Saya hanya mahu katakan agar pemandu di luar sana supaya lebih berhati-hati. Anak-anak itu tidak bersalah tetapi menjadi mangsa keadaan,” katanya memetik AFP.
Dalam perkembangan lain, TheSun.co.uk melaporkan suspek yang berusia 29 tahun disahkan positif dadah.
Dia berdepan 20 pertuduhan atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk serta kecuaian yang menyebabkan kematian.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2uUnnEl
via IFTTT