Sunday, 23 February 2020

Najib Sahkan Tandatangan SD Sokong Gabungan Baharu


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli Parlimen UMNO dilaporkan sudah bersetuju dengan gabungan baharu yang bakal dibentuk di Putrajaya tetapi dengan syarat tertentu.

Bercakap kepada portal The Malaya Post, Najib mengesahkan sudah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi membolehkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk gabungan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional.

“Ya, saya sudah tandatangan, namun bersyarat,” katanya.

Perikatan Nasional yang bakal dibentuk adalah gabungan dari parti Bersatu, UMNO, Pas, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Hari ini, lima mesyuarat parti-parti besar telah menarik perhatian media tetapi perbincangan diadakan secara tertutup.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya.


Ia dipengerusikan oleh Dr Mahathir yang enggan mengulas semasa perdana menteri berusia 94 tahun itu diserbu pemberita semasa beliau meninggalkan premis itu.

Menyertai Dr Mahathir pada mesyuarat itu ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Setiausaha Agung Datuk Marzuki Yahya; dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara di sebuah hotel yang tidak jauh dari ibu pejabat Bersatu, turut berlangsung pertemuan sejumlah pemimpin yang dipercayai dari kem Mohamed Azmin.

Antara pemimpin berkenaan ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais serta penasihat Azmin, Khalid Jaafar juga menyertai pemimpin-pemimpin itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dilihat berada di hotel sama tengah hari ini, menambah lagi spekulasi berkenaan pertemuan poltik yang berlangsung di Kuala Lumpur, dan sekitarnya.

Abang Johari mempengerusikan mesyuarat bersama anggota parlimen dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama dua jam dan meninggalkan Hotel Ritz Carlton pada kira-kira pukul empat petang.

Beliau kemudian kembali pada kira-kira pukul 5.30 petang. Shafie tiba tidak lama kemudian.

Ketika Abang Johari sudah meninggalkan hotel itu, sejumlah anggota parlimen dan pemimpin parti dilihat masih berada di sana.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2HQIhaO
via IFTTT