KUALA LUMPUR - Semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas akan ke Istana Negara pada jam 5 petang ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui media di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu mendakwa, UMNO dan Pas sudah memiliki majoriti mencukupi untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ya kita ada jumlah yang cukup iaitu 129 (ahli Parlimen). Petang ini kami akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya.
Beliau juga mengesahkan pertemuan itu akan turut dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu beberapa pemimpin UMNO dan Pas dipercayai sudah berada di Menara Dato Onn bagi menantikan 'isyarat' tindakan seterusnya daripada pemimpin atasan mereka.
Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertanggungjawab menyampaikan perkembangan kepada pemimpin tersebut setelah selesai pertemuan berlangsung di Istana Negara.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2HMvExp
via IFTTT