Wednesday 1 January 2020

Senarai Cukai Atau Caj Dijangka Naik Tahun 2020


SEHINGGA kini peranan dan kepentingan cukai amat penting bagi pembangunan sesebuah negara. Menerusi pelbagai kutipan cukai inilah membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan tahunan di samping meneruskan projek-projek pembangunan awam dan negara.

Tidak terkecuali caj-caj perkhidmatan tertentu bagi menampung pengurusan pembangunan kerajaan. Sempena Tahun Baru 2020, ketahui senarai jenis cukai atau caj yang dijangka naik di Malaysia.

1) Cukai Petak akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 1 Januari 2020.

Pelaksanaan cukai petak ini adalah bagi menggantikan cukai tanah bagi skim strata.

2) Penyedia perkhidmatan digital asing bakal dikenakan cukai enam peratus bermula 1 Januari ini.

Antara penyedia perkhidmatan digital popular yang dijangka akan dikenakan cukai ini termasuk Netflix, Spotify, Amazon, pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, pengkomputeran awan, aplikasi dan permainan di telefon pintar.

3) Di sebalik pemberian diskaun 18 peratus di semua lebuh raya milik Plus pada tahun 2020 sebagai usaha merealisasikan penghapusan tol secara berperingkat seperti dijanjikan kerajaan, kadar caj kesesakan turut diperkenalkan.

Caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak.


4) Cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan dinaikkan bermula tahun depan.

Bagaimanapun, kajian semakan semula kadar kenaikan itu akan dibuat terlebih dahulu sempena tahun penyelarasan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

5) Kadar yuran permit mengajar guru-guru persendirian di institusi pendidikan swasta akan dilaksanakan seperti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Permit Mengajar) 2013.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ia akan melibatkan bayaran proses sebanyak RM10 dan bayaran fi permit sebanyak RM30.

Kadar bayaran baharu yuran permit mengajar bagi guru persendirian di semua institusi pendidikan swasta telah diwartakan pada tahun 2013.

6) Kerajaan menyediakan dua skim pinjaman pada kadar faedah dua peratus setahun bernilai RM550 juta bagi menggantikan skim bantuan penanaman semula kelapa sawit dimanfaatkan 15,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara sebelum ini.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata skim itu adalah Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dengan jumlah dana RM500 juta dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) dengan nilai RM50 juta.

7) Sarawak akan mengenakan Cukai Jualan Negeri pada produk aluminium, dan melaksanakan kenaikan tarif air mentah akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020.

Bagaimanapun, caj elektrik dan air kepada pengguna daripada industri dan kediaman akan kekal tidak berubah.

8) Kadar baharu tarif air bagi semua negeri kemungkinan diumumkan pada tahun hadapan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata bagaimanapun perkara itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu untuk dibincangkan.

9) Pengenaan Cukai Perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang diimport oleh pengguna Malaysia bermula 1 Januari 2020.

10) Kerajaan akan memperkenalkan kategori cukai pendapatan baru bagi golongan yang mempunyai pendapatan boleh cukai melebihi RM2 juta setahun.

Bagi memastikan struktur cukai pendapatan lebih progresif, banjaran (kategori) baru bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta akan diperkenalkan dan dikenakan cukai pada 30 peratus iaitu kenaikan dua peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada.

Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira dua ribu orang berpendapatan tinggi di negara ini

11) Buat pertama kalinya sejak beroperasi 70 tahun lalu, kadar caj bayaran masuk ke Taman Negara Pahang akan dinaikkan kepada para pengunjung bermula 1 Januari 2020.

Kadar lama permit masuk Taman Negara yang berharga cuma RM1 untuk setiap seorang tanpa mengira usia bakal dinaikkan kepada kadar baharu iaitu RM10 bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, RM30 untuk golongan berusia antara 13 hingga 60 tahun dan RM15 kepada pengunjung berusia 61 tahun ke atas.

12) Kerajaan telah meluluskan cadangan daripada syarikat perkhidmatan pos yang disenaraikan, untuk menaikkan kadar, semakan semula tarif pos baharu yang pertama dalam tempoh sedekad bermula bulan hadapan.

Bagaimanapun, syarikat Pos Malaysia Berhad masih belum menerima butiran rasmi mengenai kadar tarif pos yang baharu, dan tarikh perlaksanaannya daripada kerajaan walaupun penyedia perkhidmatan pos itu menerima surat pengesahan mengenai kelulusan kenaikan tarif berkenaan.

Dilaporkan bahawa kenaikan tarif ini adalah antara 30 peratus hingga 210 peratus pada tahun 2020 dan dinaikkan lagi 50 peratus pada tahun 2021

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media News https://ift.tt/2N0Ki7l
via IFTTT