Tuesday, 3 October 2017

Subhanallah! Inilah 13 Fakta Berkenaan Kisah Umat Nabi Lut A.S. Yang Biasanya Tidak Didedahkan Oleh Pendukung LGBT. Mohon Sebarkan...


Al-Qattan dalam kitab Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an menyatakan, di antara faedah kisah-kisah yang disebut oleh Allah S.W.T. s.w.t di dalam al-Qur’an yang merangkumi kisah para Nabi, adalah untuk :

a) Menerangkan asas-asas dakwah menuju Allah S.W.T. dan perkara asas syariat yang dibawa oleh para Nabi.

b) Meneguhkan hati Rasulullah s.a.w. dan hati umat Muhammad s.a.w. di atas agama Allah S.W.T., mengukuhkan keyakinan orang beriman mengenai kemenangan para pendukung kebenaran dan kehancuran para pembela kebatilan.

c) Menarik perhatian para pendengar dan memantapkan pesanan yang terkandung di dalamnya ke dalam jiwa mereka.

Solah al-Khalidi di dalam kitabnya al-Qasas al-Qur’aniyy ‘Ardu Waqa’i‘ wa Tahlil Ahdath menjelaskan bahawa kisah berkenaan Nabi Lut a.s. dan umatnya disebutkan oleh Allah S.W.T. SWT sebanyak 27 kali di dalam al-Qur’an. Ia merangkumi 3 keadaan iaitu :

i) Kisah secara terperinci mengenai Nabi Lut a.s. bersama umatnya yang mengisahkan penyelewengan akhlak mereka, dakwah Nabi Lut kepada umatnya agar dibersihkan perlakuan mereka yang salah, penolakan dakwah oleh umatnya serta menerangkan azab dan seksa ke atas umatnya.

ii) Kisah yang disebutkan secara sepintas lalu mengenai Nabi Lut a.s.

iii) Ayat yang menyatakan nama Nabi Lut a.s. sebagai sebahagian dari nama para Nabi

Solah al-Khalidi menjelaskan sekurang-kurangnya 13 fakta penting menurut al-Qur’an dan al-Hadith berhubung kisah Nabi Lut a.s. dan umatnya. Di antaranya ialah :

1) Nabi Lut a.s. adalah di antara kalangan para Nabi yang diutuskan oleh Allah S.W.T. Di dalam al-Qur’an, Allah S.W.T. menjelaskan bahawa Nabi Lut a.s. beriman kepada Nabi Ibrahim a.s. sewaktu Baginda menyampaikan dakwah di negerinya iaitu Iraq. Beliau juga menjelaskan Nabi Lut a.s. berhijrah bersama Nabi Ibrahim a.s. dari Iraq ke Palestin berdasarkan ayat 26, Surah al-Ankabut dan ayat 71, Surah al-Anbiya’, sebelum diutuskan kepada suatu kaum yang tinggal di sebuah perkampungan di utara Palestin.

2) Solah al-Khalidi menegaskan bahawa tidak wujud dalam sebarang hadith sahih mengenai dari mana asalnya umat Nabi Lut a.s., nama mereka serta nama daerah atau kawasan yang mereka diami. Ini kerana sebarang riwayat Israiliyyat yang tercatat di dalam kitab sejarah umat terdahulu, tidak boleh diyakini sepenuhnya. Apa yang jelas diungkapkan oleh al-Qur’an, bahawa umat Nabi Lut a.s. melakukan banyak perlakuan keji dan di antaranya perlakuan homoseksual ataupun liwat iaitu mereka mendatangi golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka dan ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana umat terdahulu sebelum mereka.

3) Selanjutnya, Solah al-Khalidi menjelaskan hikmah Nabi Lut a.s. yang diutuskan untuk mencegah perlakuan keji di kalangan umatnya, berbanding para Rasul yang lain yang diutus kepada umat mereka dengan ajakan untuk beriman kepada Allah S.W.T. Di antara hikmahnya ialah, umat para Rasul yang lain melakukan penyelewengan dari sudut aqidah dengan menyembah berhala, sedangkan umat Nabi Lut a.s. melakukan penyelewengan akhlak dengan perlakuan homoseksual yang keji itu.

Beliau menegaskan, bagaimana suatu umat yang telah sebati dengan perlakuan keji tersebut boleh beriman kepada Allah S.W.T. jika tidak diseru kepada mereka peringatan supaya meninggalkan terlebih dahulu perlakuan keji itu? Justeru, dakwah Nabi Lut a.s. yang lebih utama dalam berhadapan umatnya adalah membersihkan jasmani dan keinginan mereka daripada perlakuan seks songsang. Ini kerana, seruan untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. seakan-akan tidak bermanfaat kepada kelompok manusia yang telah sebati dengan perlakuan seks songsang tersebut.

4) Tidak diketahui secara tepat bilakah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh umat Nabi Lut a.s. itu bermula. Bahkan, Solah al-Khalidi menegaskan tidak dijelaskan dalm al-Qur’an siapakah orang yang pertama melakukan perlakuan homoseksual itu di kalangan Nabi Lut a.s., bagaimana keadaan orang yang melakukan perlakuan homoseksual itu dan bagaimana pula keadaan orang yang diperlakukan. Justeru, peringatan Allah S.W.T. yang menzahirkan perlakuan keji umat Nabi Lut a.s. di dalam al-Qur’an sudah memadai untuk menjadi peringatan kepada umat kemudian, tanpa perlu merujuk kepada riwayat Israiliyyat yang dinukilkan secara terperinci tanpa dapat dipastikan kebenarannya.


Apa yang penting, penyelewengan seks tersebut bermula secara terpencil di kalangan umat Nabi Lut a.s. , sebelum ia merebak di kalangan mereka serta dilakukan secara terbuka di tempat pertemuan mereka. Tegas Solah al-Khalidi lagi, umat Nabi Lut a.s. menzahirkan perlakuan homoseksual tersebut tanpa ada rasa malu dan ia merupakan bukti bahawa perlakuan keji tersebut berleluasa di kalangan umat Nabi Lut a.s. dan hanya sedikit dari kalangan mereka yang tidak terlibat.

5) Perlakuan homoseksual oleh umat Nabi Lut a.s. secara jelas menyalahi fitrah manusia. Ini kerana, Allah S.W.T. telah menjadikan golongan perempuan sebagai pasangan yang lengkap bagi seorang lelaki kerana ia memenuhi tuntutan dari sudut perasaan seperti kasih sayang dan kebahagiaan serta jasmani yang sihat. Justeru, bagaimana seorang lelaki yang normal dan waras sanggup membenarkan dirinya melakukan persetubuhan melalui dubur atau disetubuhi oleh lelaki lain? Ternyata, mereka yang terlibat dengan perlakuan homoseksual atau liwat ini mengalami penyakit jiwa dan perasaan kerana sanggup melakukan sesuatu di luar fitrah.

6) Nabi Lut a.s. dilihat secara tegas menegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh umatnya. Ini kerana, Solah al-Khalidi menyatakan Nabi Lut a.s. berpandangan bagaimana umatnya sanggup menjadikan lelaki yang sama jenis dengan mereka menjadi tempat untuk memuaskan nafsu syahwat mereka? Mengapa umatnya tidak memadai dengan perempuan sebagai pasangan hidup mereka yang halal?

Mengapa pula umatnya sanggup menggantikan peranan perempuan dengan lelaki yang bersifat keperempuanan atau mukhannath di kalangan mereka? Ia semua berlaku disebabkan umat Baginda melampaui batas dengan mengikut kehendak syahwat songsang mereka dan mengutamakan perkara yang haram berbanding apa yang dihalalkan untuk mereka.Perkataan al-Zukran dalam ayat 165, Surah al-Syu’ara’ menggambarkan kehendak mereka yang melampau sehingga tidak ada lagi yang dikehendaki untuk memuaskan nafsu syahwat mereka, melainkan golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka.

7) Umat Nabi Lut a.s. didapati memperolok-olokkan Nabi Lut a.s. dengan menyatakan kepada Baginda, seandainya Baginda berkata benar iaitu dalam mencegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh mereka, maka mohonlah kepada Allah S.W.T. supaya ditimpakan azab ke atas mereka. Mereka juga didapati mengancam untuk mengusir Nabi Lut a.s. dan golongan yang beriman yang merupakan pengikut Nabi Lut a.s., sekiranya Baginda terus-menerus mencegah perlakuan homoseksual yang dilakukan oleh mereka. Ini kerana umat Nabi Lut a.s. merasakan Baginda adalah orang luar yang datang ke tempat mereka dan tiada hak untuk menegah apa yang mereka lakukan dari perlakuan homoseksual tersebut.

Walau bagaimanapun Nabi Lut a.s. tetap istiqamah dalam mencegah perlakuan keji yang dilakukan oleh umatnya. Solah al-Khalidi menegaskan, Nabi Lut a.s. dan pengikutnya yang beriman dimuliakan oleh Allah S.W.T. daripada melakukan perlakuan homoseksual yang menjadi amalan umat Baginda. Ia dapat dilihat dalam suasana masa kini, di mana golongan yang melakukan kemungkaran merasakan golongan yang mencegah kemungkaran mereka perlu diusir dari kalangan mereka kerana tidak melakukan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka.

8) Nabi Lut a.s. dibantu oleh Allah S.W.T. sejajar dengan permohonan Baginda yang mengharapkan bantuan Allah S.W.T. dalam berhadapan umatnya yang berterusan dalam melakukan penyelewengan seks. Justeru, jelas Solah al-Khalidi, berdasarkan sunnatullah setelah Nabi Lut a.s. menyampaikan dakwah kepada umat Baginda dan tidak mampu untuk mengubah kehendak umatnya yang telah sebati dengan perlakuan homoseksual, maka Allah S.W.T. telah menimpakan azab dan kemusnahan kepada umat Baginda yang jelas kufur kepada Allah S.W.T. Manakala, pada waktu yang sama Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Lut a.s. dan pengikut Baginda yang beriman.

Solah al-Khalidi menyatakan lagi, sebelum azab ditimpakan kepada Nabi Lut a.s., Allah S.W.T. telah memerintahkan kepada para malaikat untuk bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. untuk membawa dua berita iaitu berita Nabi Ibrahim a.s. akan dikurniakan seorang anak yang bernama Ishak dan berita mengenai umat Nabi Lut a.s. yang akan dimusnahkan. Pada ketika itu, Nabi Ibrahim a.s. bimbang tentang nasib Nabi Lut a.s. yang berada di kalangan umatnya yang akan dimusnahkan. Walau bagaimanapun, para malaikat menenangkan Nabi Allah S.W.T. Ibrahim a.s. berdasarkan ayat 32, Surah al-‘Ankabut bahawa Nabi Lut a.s. dan pengikutnya yang beriman akan diselamatkan, kecuali isteri baginda kerana dia termasuk di kalangan umat Nabi Lut a.s. yang dibinasakan oleh Allah S.W.T.

9) Nabi Lut a.s. sedaya upaya mempertahankan tetamu Baginda iaitu para malaikat yang dijelmakan sebagai pemuda berwajah tampan oleh Allah S.W.T. Beliau sangat bimbang mengenai keselamatan para tetamunya, lantaran mengenangkan perlakuan keji yang dilakukan oleh umat Baginda iaitu mendatangi golongan lelaki yang sama jenis dengan mereka. Ternyata, kebimbangan Nabi Lut a.s. Berasas apabila umat Baginda memaksa supaya menyerahkan tetamu Baginda kepada mereka. Jelas Solah al-Khalidi, Nabi Lut a.s. menegaskan kepada umat Baginda, apakah tidak ada di kalangan mereka seorang lelaki yang waras akalnya yang boleh menasihatkan mereka, agar menyedari bahawa perlakuan homoseksual itu sememangnya perlakuan yang keji? Apatah lagi, mereka ingin melakukan perbuatan terkutuk itu bersama tetamu Baginda.

Mereka dibayangkan seolah-olah hilang akal dan mendesak Nabi Lut a.s. menyerahkan tetamu Baginda kepada mereka. Perbuatan Nabi Lut a.s. yang mempertahankan tetamu daripada diperlakukan dengan perlakuan yang keji termasuk di antara adab Islam supaya memuliakan tetamu. Walau bagaimanapun, ternyata tidak terdapat seorang pun di kalangan umat Nabi Lut a.s. yang berfikiran waras supaya mengingatkan mereka agar tidak meneruskan kehendak mereka yang semakin menggila untuk melakukan perlakuan homoseksual bersama tetamu Nabi Lut a.s.

10) Selanjutnya, Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa dalam usaha untuk menyelamatkan tetamu Baginda daripada diapa-apakan, maka Baginda telah menawarkan kepada umat Baginda anak anak perempuan Baginda. Tegas beliau lagi, tidak perlu kita mendapatkan sumber daripada Israiliyyat tentang siapakah anak perempuan Baginda dan meninggalkan perselisihan di kalangan para ahli sejarah dan mufassirin. Apa yang lebih utama adalah berpandukan kepada apa yang telah termaktub di dalam al-Qu’ran.

Anak-anak perempuan Nabi Lut a.s.digambarkan sebagai perempuan yang suci serta lebih utama untuk dipergauli dalam memenuhi kehendak syahwat mereka mengikut cara yang dibenarkan. Solah al-Khalidi menyatakan lagi, pandangan yang lebih tepat mengenai anak-anak perempuan Nabi Lut a.s. adalah merujuk kepada anak-anak perempuan di perkampungan umat Baginda. Ini kerana, Nabi Lut adalah Rasul dan Nabi di perkampungan Baginda. Dan Baginda merupakan orang tua serta pemimpin di kalangan umat Baginda. Justeru, Baginda diibaratkan sebagai bapa kepada golongan perempuan di perkampungan Baginda berdasarkan pengertian maknawi.

11) Seterusnya, Nabi Lut a.s. menyeru umat Baginda agar memilih jantina yang berlawanan iaitu golongan perempuan dan meninggalkan perlakuan homoseksual yang keji itu. Walau bagaimanapun, permintaan Baginda tidak diendahkan oleh umat Baginda, bahkan mereka menegaskan bahawa Nabi Lut a.s. sepatutnya jelas tentang kehendak syahwat mereka yang hanya ingin mendatangi golongan lelaki sama jenis dengan mereka dan mereka tidak sekali-kali menginginkan golongan perempuan di perkampungan mereka.

Pada ketika ini, Nabi Lut a.s. menyatakan munajatnya berdasarkan ayat 80, Surah Hud bahawa alangkah baiknya sekiranya Baginda mempunyai kekuatan atau berlindung dengan perlindungan yang lebih kuat dalam usaha menyelamatkan tetamu Baginda daripada diapa-apakan. Ini kerana, Baginda digambarkan sebagai orang luar dari kalangan umat Baginda, dan tidak mempunyai sanak saudara di kalangan mereka untuk membantunya bagi menyelamatkan tetamu Baginda. Justeru, Baginda meyakini tidak ada perlindungan yang lebih baik melainkan perlindungan Allah S.W.T.

12) Nabi Lut a.s. pada asalnya tidak mengenali tetamu Baginda sebagai malaikat yang diutuskan oleh Allah S.W.T. untuk menghancurkan umat Baginda. Di antara hikmahnya ialah, supaya malaikat tersebut menyaksikan dengan jelas penyelewengan seks yang berlaku di kalangan umat Nabi Lut a.s. Justeru, ia menjadi hujah yang kuat bagi Allah S.W.T. mengazab mereka disebabkan perlakuan homoseksual yang ingin dilakukan oleh mereka bersama tetamu Baginda yang sebenarnya adalah malaikat.

Solah al-Khalidi menjelaskan lagi, para malaikat tersebut kemudiannya memberitahu Nabi Lut a.s.supaya bersegera keluar dari perkampungan Baginda beserta pengikut Baginda yang beriman sebelum waktu Subuh keesokan harinya. Ia bertujuan menyelamatkan Baginda dan pengikutnya daripada ditimpa azab Allah S.W.T. yang sangat dahsyat yang akan ditimpakan kepada umat Baginda pada waktu Subuh. Ternyata, kesemua umat Nabi Lut a.s. dibinasakan oleh Allah S.W.T. yang masih tinggal di perkampungan tersebut tanpa ada seorang pun daripada mereka yang terselamat.

13) Isteri Nabi Lut a.s. diberitakan di dalam al-Qur’an sebagai di antara mereka yang dibinasakan bersama umat Nabi Lut a.s. Ini kerana tegas Solah al-Khalidi, isteri Baginda memilih untuk kufur kepada Allah S.W.T., tidak menyerap di dalam jiwanya keimanan yang ada pada suaminya iaitu Nabi Lut a.s., sebaliknya isteri Nabi Lut a.s. Memilih untuk teguh di atas agama umat Nabi Lut a.s. yang kufur kepada Allah S.W.T. dan melakukan penyelewengan seks. Ia dinyatakan dengan jelas oleh Allah S.W.T. pada ayat 10, Surah al-Tahrim. Meskipun isteri Nabi Lut a.s. di bawah pengawasan Baginda, namun dengan sifat khianat yang dilakukan oleh isteri Baginda, maka ia dimasukkan oleh Allah S.W.T. ke dalam neraka.

Solah al-Khalidi menjelaskan bahawa, khianat yang dimaksudkan bukan bermaksud isteri Nabi Lut a.s. melakukan zina atau perlakuan keji sebagaimana umat Baginda, sebaliknya pengkhianatan dalam agama dengan menolak agama yang benar, memlih agama yang batil dan dia merupakan seorang yang kufur kepada Allah S.W.T. Justeru, meskipun dia merupakan isteri kepada seorang Nabi, ia sedikit pun tidak memberikan manfaat kepadanya , menyelamatkannya daripada azab yang ditimpakan kepada umat Nabi Lut a.s. serta Baginda tidak berupaya untuk menghalang isteri Baginda daripada dimasukkan ke dalam neraka pada hari akhirat kelak.

Kesimpulannya, ini adalah 13 fakta berkenaan kisah umat Nabi Lut a.s. yang biasanya tidak didedahkan oleh pendokong LGBT. Moga Allah merahmati kita semua. -Dr Izwan Yusof

Sumber: Ismaweb


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2fGJMKu
via IFTTT