Monday, 2 October 2017

Netizen Thailand Kecam Dan Dakwa Konvoi Bikers Malaysia Tak Hormat Undang² Jalan Raya, Benarkah?


NARATHIWAT, THAILAND - Video laporan berita dari media tempatan Thailand mengenai perbuatan sekumpulan bikers yang dipercayai dari Malaysia dengan sengaja melanggar undang-undang lalu lintas di negara itu, viral di media sosial. 

Video berdurasi dua minit itu menunjukkan, empat penunggang motosikal berkuasa tinggi bertindak seperti 'marshall' menahan kenderaan dari laluan kiri dan kanan di persimpangan lampu isyarat bagi memberi ruang untuk konvoi motosikal besar kumpulan berkenaan jalan terlebih dahulu dalam insiden yang berlaku pada 22 September lalu.


Video yang dirakam oleh pengguna jalan raya warga tempatan itu kemudian tersebar di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi tidak puas hati rakyat di negara itu yang rata-ratanya mengecam kumpulan bikers berkenaan yang dianggap bertindak sesuka hati apabila masuk ke negara mereka. 





Menurut netizen, insiden seperti ini juga pernah berlaku di dalam negara yang mana juga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengguna jalan raya. 

"Aku pernah kena tahan dengan marshall-marshall ini. Sorry aku tak layan dan jalan terus. Boleh pula dia sound aku, 'kau buta ke? aku dah suruh berhenti, apsal kau tak berhenti?'. Aku tanya dia, 'undang-undang mana kau pakai yang kata marshall boleh suka-suka menahan kereta? Kau dalam tugas rasmi kerajaan ke? Kau polis? Ambulan? Kau bukan naik kereta pasukan keselamatan. Motor saja besar, otak kecik'. Senyap terus dia," kata Baba Yaga.

"Di Malaysia pun sama juga, mana boleh tahan kenderaan lain semata-mata untuk memberi laluan pada konvoi kau. Tiada kepentingan pun beri laluan pada mereka ini. Andai berlaku kemalangan semasa mereka menahan kenderaan kita, tentu salah mereka," kata Mohd Nor Hisham. 
"Jangan nanti ada yang kena sembelih di sana sudahlah. Thailand, faham-faham sajalan. Itu nasib kau tak melanggar orang. Kalau langgar, memang nahaslah jawabnya. Pandai kutuk Singaporean, tapi Malaysian sendiri pun sama. Jangan sampai bikers diharamkan beroperasi di atas jalan raya," kata Nizamuddin Othmand N-Zam.



Bagaimanapun, menurut catatan Cikgu Joe Satun, netizen di Malaysia  tidak faham dengan berita yang disampaikan oleh pembaca berita TV7 berkenaan sehingga menyebabkan ramai yang memaki hamun kumpulan bikers itu.

"Yang dok ulas dan komen, seorang pun tak tahu bahasa Thailand. Yang buat sekatan (adalah) polis Thai, yang jadi mangsa maki hamun, group itu.

"TV7 Thailand tiada mengulas kesalahan kesalahan Bikers Malaysia, tetapi (mempertikaikan) tindakan polis Thai yang membuat sekatan di persimpangan lampu isyarat.

"Siasatan sedang dilakukan di Thailand. Tetapi di Malaysia, umat Islam dah mula memaki hamun," katanya.


Susulan viral video tersebut, tampil pula seorang individu yang mendakwa dirinya wakil dan Ahli Jawatan Kuasa Chopper Garaj Kelantan (CGK), memohon maaf di atas insiden berkenaan.

"Berkaitan kes bikers Malaysia tidak mematuhi undang-undang jalan raya Thailand pada 22 September 2017 di Narathiwat.

"Pihak yang bertanggungjawab, CGK akan membuat surat rasmi permohonan maaf kepada Kerajaan Thailand melalui Konsulat Thai dalam masa terdekat.

"Kesilapan yang berlaku bukan arahan dari penganjur, namun tindakan spontan bikers dalam group tersebut kerana terlalu ghairah ride.

"Dalam masa terdekat juga, pihak berkaitan akan mengadakan kempen mematuhi undang-undang jalan raya (Malaysia-Thailand). Mohon sokongan dari semua bikers Kelantan nanti," katanya.


Sementara itu, carian di Facebook menemui satu kenyataan terkini mengenai isu tersebut yang ditulis oleh individu bernama Halim Ujang (sumber dari Johan Ponijan) dari All Bikers All Riders (ABAR) dan 3 Nation Bikers Community.

"Saya mendapat panggilan dari Adisorn LucaMalee Sumalee (One of All Bikers All Riders Community members in Thailand) berkenaan isu ini. Berikut rentetan serta penjelasan melalui perbualan telefon antara saya dengan Luca sebentar tadi:

"Please stop talking this issue in Malaysia, sehingga Luca akan update tentang isu ini selepas meeting dengan Gabenor di Narathiwat/Yala dan juga polis pada malam ini. 

"Pada mulanya isu ini tidaklah besar dan pihak polis serta pegawai di Thailand tidak memandang serius langsung tentang isu ini. Tetapi isu ini menjadi besar apabila seorang rakyat Thailand telah menghantar klip video ini ke TV7 Bangkok, Thailand dan menyebabkan isu ini menjadi gempar dan kecoh. 

"Apabila video itu telah diviralkan dan dihebahkan di TV Thailand, ramai rakyat Thai telah mula menjadi benci dengan big bike dari Malaysia. Walau bagaimanapun, polis dan juga bikers dari Thailand tidaklah menjadi sedemikian. Bahkan, mereka cuba menjernihkan keadaan. 

"Atas desakan dari kekecohan rakyat Thailand ini, menyebabkan pihak polis Thailand juga akan bertindak dan ada di kalangan polis juga yang tidak berpuas hati serta ada ura-ura mereka akan bertindak untuk membuat pemeriksaan terhadap konvoi-konvoi bikers dari Malaysia. 

"Untuk tidak mengeruhkan lagi isu ini, berhenti dari terus mengeruhkan keadaan sehingga diberitahu kelak," kata Luca. 

"Saya harap kita janganlah menganggu tugas Luca untuk bersemuka dengan pihak polis dan Gabenor dengan pelbagai pertanyaan. Berilah sedikit kebebasan untuk beliau menjernihkan keadaan seketika," katanya. 

Sumber: The Reporter


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2ySbo7F
via IFTTT