Wednesday, 1 March 2017

Suka Bersendirian Adalah Ciri-Ciri Orang Bijak – Kajian


Seorang yang memiliki ciri-ciri ‘introvert’ antaranya bersikap lebih menyendiri dan tidak gemar bergaul dengan orang lain.

Menurut penulis artikel di HuffingtonPost, Carolyn Gregoire, berkata, bercanggah dengan perangai ekstrovert yang lebih mementingkan teman bercakap ataupun gemar berada di tempat ramai orang, si pendiam lebih berhati-hati memilih kawan dan hanya bercakap apabila perlu iaitu di hadapan rakan baiknya.

“Generasi muda yang introvert sebenarnya tidak gemar bercakap kosong dan lebih suka bersembang di media sosial yang mengutamakan sesi perbincangan atas talian tanpa perlu bersua. Mereka juga mempunyai daya pemikiran yang tajam dan selalu berfikir dengan teliti sebelum bercakap. Ini turut melabelkan mereka sebagai golongan cerdik pandai terutama apabila mereka sempat mengeluarkan kata-kata,” katanya.

Bukan antisosial

Kebanyakan anak muda yang terbiasa dengan istilah ini pastinya melabelkan rakan mereka sebagai seorang yang bosan ataupun antisosial. Menurut Carolyn, tanggapan itu tidak berasas kerana bukan semua golongan introvert bersikap demikian. Ada saja antara mereka yang suka berkawan cuma ia bergantung sama ada mereka selesa bersama dengan individu yang baru dikenali itu ataupun sebaliknya.

“Di mana rata-rata anggapan menyifatkan golongan ini lebih suka menyendiri dan jadi antisosial, itu sebenarnya menunjukkan tanda-tanda di mana mereka perlu bersendirian untuk memperoleh idea dan menjana kreativiti. Itu sebabnya si pendiam lebih gemar berfikir daripada bercakap dan gemar berada di sekeliling rakan-rakan yang memahami.

Jelasnya lagi, kebanyakan mereka akan berasa letih dan tidak selesa apabila terlalu lama bersosial bersama ramai orang. Justeru, insiden itu menyebabkan mereka lebih gemar lakukan sesuatu perkara berseorangan. Namun, kini golongan berkenaan lebih tangkas mengatasi kelemahan mereka kerana terlalu banyak desakan daripada orang sekeliling dan juga sebagai langkah untuk menyesuaikan diri di tempat kerja.

Jadi diri sendiri

Tidak perlu rasanya kita ubah siapa diri kita semata-mata untuk mendapat perhatian orang lain. Menurut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, 40 peratus tokoh yang berjaya seperti Bill Gates dan Mark Zuckerberg sebenarnya memiliki sifat-sifat ‘introvert’.

Justeru, setiap orang berjaya bukanlah bermakna mereka bijak bergaul mahupun banyak bercakap untuk menghiburkan orang lain tapi sebenarnya mereka yang selalu berhati-hati membuat penelitian. Namun, meneliti sikap yang dibincangkan di atas, tidak semuanya positif dan perlu dikekalkan.

Jika anda seorang yang pendiam dan terlalu suka bersendirian, itu juga menunjukkan tanda-tanda yang tidak elok pada karier dan perjalanan hidup.

Justeru, kekalkan beberapa ciri-ciri ‘introvert’ yang membawa nilai positif dan pada masa yang sama, ambil sedikit nilai ekstrovert iaitu berani dan gemar menambah kenalan untuk memperoleh ilmu pengetahuan serta memperluaskan pengalaman.


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2lWb2aa
via IFTTT